Tragedi kereta kabel di Turkiye: Seorang maut, 184 ‘tergantung’

Pasukan penyelamat berusaha menyelamatkan penumpang yang terperangkap di dalam pod kereta kabel di Antalya, selatan Turki, pada Jumaat, 12 April 2024. (FOTO: AP)
- Advertisement -

ANTALYA: Seorang maut dan tujuh cedera apabila sebuah kereta kabel di Turkiye melanggar tiang dan pecah, sementara 184 penumpang terperangkap di dalam 25 pod kereta kabel lain yang tergantung di udara.

- Advertisement -

Kejadian berlaku apabila sebuah daripada kereta selepas kereta kabel Tunektepe itu terhempas ke tanah pada kira-kira jam 6 petang waktu tempatan pada Jumaat di bandar pelancongan popular Antalya, di sini.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai sebagai seorang lelaki Turkiye berusia 54 tahun, lapor Anadolu Agency sambuil menambah enam warga Turkiye lain dan seorang warga Kyrgyz cedera termasuk dua kanak-kanak.

Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya dalam kenyataannya tiga jam selepas kemalangan itu berkata, operasi menyelamat melibatkan lebih 160 anggota pertama termasuk kru udara dari Pengawal Pantai dan pasukan pendaki gunung dari bahagian berlainan di Turkiye.

“Kira-kira 184 penumpang lain terperangkap dalam 25 pod kereta kabel lain di atas tanah ketika jurutera cuba memulakan semula sistem kabel itu,” kata Datuk Bandar Antalya, Muhittin Bocek pula dalam satu kenyataan.

Agensi mencari dan menyelamat AFAD kemudian berkata, 49 orang telah diselamatkan dari pod-pod yang tergantung di udara, dan baki 135 masih terkandas menjelang tengah malam – kira-kira enam jam selepas kemalangan itu.

Terdahulu, imej dalam media Turkiye menunjukkan pod-pod kereta kabel itu bergoyang akibat tali kabel yang tercabut di sisi gunung berbatu itu ketika pasukan perubatan merawat mangsa yang cedera.

Kemalangan itu berlaku pada cuti umum tiga hari di Turkiye sempena Aidilfitri menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan, yang menyaksikan keluarga berpusu-pusu ke pusat peranginan pantai.

Kereta kabel itu membawa pelancong dari pantai Konyaalti ke restoran dan platform melihat di puncak Tunektepe setinggi 618 meter.

Sehubungan itu, Pejabat Ketua Pendakwa Raya Antalya berkata, ia  telah melancarkan siasatan terperinci mengenai kejadian itu. – Agensi-HARAKAHDAILY 13/4/2024

- Advertisement -