PAS anjur Himpunan Bangkit Aqsa 100K

Nadzir Helmi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS akan mengadakan program ‘Himpunan Bangkit Aqsa 100K pada 4 Mei ini di satu lokasi yang akan diumumkan kelak, bersempena konflik Israel-Palestin yang masih berlarutan sejak Oktober tahun lalu.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi berkata, matlamat himpunan itu diadakan adalah bagi menyedarkan kembali rakyat Malaysia mengenai serangan tanpa henti Israel terhadap rakyat Palestin.

Menurutnya, ia juga bagi meneruskan usaha memboikot dan mengecam terhadap segala tindak-tanduk Israel dan sekutunya dalam konflik berkenaan yang masih belum tamat sehingga hari ini.

“Sasaran kali ini adalah seramai 100,000 orang yang hadir, selepas siri kejayaan menghimpunkan lebih 60,000 pada himpunan yang lepas,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, pada hari ini.

Beliau dalam pada itu juga berharap agar semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang untuk turut serta dan mengambil bahagian di dalam himpunan itu.

“Pesanan saya agar rakyat Malaysia terus sedar dan memboikot produk-produk yang ada kaitan dengan Israel dan berdoa agar warga dan penduduk Palestin terus kuat menentang kezaliman di zaman moden ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/4/2024

- Advertisement -