5 jam perjalanan dari Pasir Mas ke Kuala Krai

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kesesakan lalu lintas di Kelantan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri agak luar biasa sejak 1 Syawal apabila deretan kenderaan memanjang dari Kuala Krai sehingga ke Machang.

- Advertisement -

Begitu juga laluan Kuala Krai-Gua Musang kenderaan bersesak sesak di sepanjang jalan. Laluan tersebut mulai sesak teruk sejak 3 Syawal memandang ramai perantau mulai kembali ke ibu negara.

Semalam ramai terperangkap di jalan raya di mana semua jalan utama di Kelantan sendat dengan kenderaan. Malah ada pemandu berpatah balik dalam kesesakan di laluan Machang-Kuala Krai.

Perjalanan sejauh 93 kilometer dari Pasir Mas ke Manek Urai, Kuala Krai mengambil masa hampir 5 jam, di mana kesesakan teruk dari Pulai Chondong memanjang sehingga ke Sungai Durian, Kuala Krai.

Begitu juga hari ini kenderaan bertali arus dari Machang sehingga ke Gua Musang. Tidak kurang juga laluan Tanah Merah-Jeli padat dengan ribuan kenderaan.

Bas-bas ekspres bagi laluan Kota Bharu-Kuala Lumpur yang bertolak jam 9 pagi tadi dari stesen di Lembah Sireh, jam 3 petang kelihatan baru sampai di laluan Machang-Kuala Krai. 

Ramai penumpang resah menunggu bas di perhentian Dataran Peladang Kuala Krai dan stesen bas Kok Lanas. Kebiasaannya di luar musim perayaan pada jam 1 tengah hari bas ekspres yang bertolak 9 pagi sudah sampai di Gua Musang.

Tidak kurang perantau menggunakan jalan alternatif sebagai pilihan termasuk laluan Kusial melalui Paloh Rawa, Temangan dan keluar di Simpang Kuala Nal. Kelihatan ramai anggota polis mengawal lalu lintas di lokasi terbabit.

Laluan alternatif dari Labok, Machang ke Selising, Pasir Puteh hanya dibuka sehala bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk.

Situasi serupa hampir serupa juga berlaku menjelang 1 Syawal di mana perantau yang pulang ke kampung menggunakan perkhidmatan bas ekspres mengambil masa kira-kira 12 jam.

“Inilah kelebihan berhari raya di Kelantan apabila terpaksa berada dalam kenderaan sehari suntuk,” ujar seorang perantau dari Kajang yang pulang bercuti di rumah isterinya di Kampung Laut, Tumpat. – HARAKAHDAILY 13/4/2024

- Advertisement -