Tradisi raya keluarga Laksamana Saad

Laksamana dan keluarga merakam gambar kenangan di hadapan rumah pusaka yang berusia enam dekad pada pertama Aidilifitri, 10 April 2024.
- Advertisement -

KANGAR: Rumah pusaka berusia lebih enam dekad milik keluarga Laksamana Saad di Kampung Abi Tengah, di sini, sangat unik kerana menjadi lokasi tradisi berkumpul setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri.

Rumah yang dibina pada tahun 1957 oleh datuk keluarga itu, Allahyarham Mahamood Ismail, kini menjadi tempat penuh bersejarah bagi keluarga besar Laksamana sebagai pewarisnya.

- Advertisement -

Meskipun Mahamood sudah meninggal dunia, tradisi berkumpul masih kekal diteruskan oleh ahli keluarga dan sanak saudara Laksamana pada setiap tahun.

Laksamana, 67, berkata, tradisi berkumpul di rumah pusaka tersebut adalah suatu kewajipan bagi keluarga mereka.

“Kami menghargai warisan keluarga ini dan terus merayakan sambutan Hari Raya dengan bergembira di rumah pusaka yang menjadi saksi sejarah bagi kami,”katanya.

Walaupun keadaan struktur rumah yang tersebut membatasi jumlah orang yang dapat naik ke tingkat atas rumah tersebut, namun semangat berkumpul dan meraikan Aidilfitri di situ tetap tidak terpadam.

Kebiasaannya pada Aidilfitri, ahli keluarga berkumpul di rumah tersebut untuk sesi bergambar kenangan sebelum beralih ke bahagian bawah rumah untuk menikmati juadah raya yang disediakan.

“Sekali berkumpul lebih kurang 30 orang termasuk generasi kedua dan ketiga, dan antara juadah yang dihidangkan seperti ketupat, kuih beras, bahulu, karas dan lain-lain,” kongsinya.

Laksamana turut menyatakan bahawa keluarganya tidak hanya menjaga rumah warisan tersebut tetapi juga menjadikannya sebuah muzium mini bagi menyimpan barangan warisan turun temurun keluarganya itu.

“Rumah ini juga menjadi destinasi menarik bagi pelawat yang ingin melihat koleksi bersejarah dan merasai suasana tradisional yang masih dikekalkan.

“Rumah ini bukan sahaja menjadi tempat berkumpul keluarga, tetapi juga menjadi saksi bisu bagi sejarah kemerdekaan negara,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, melalui inisiatif dalam menjaga dan memelihara warisan keluarga, mereka turut menyumbang kepada pemeliharaan sejarah dan kebudayaan negara.

“Kami berharap tradisi ini dapat diteruskan oleh generasi seterusnya dan berazam untuk terus memelihara dan menyemarakkan warisan turun temurun keluarga kami untuk tatapan generasi kini dan akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/4/2024

- Advertisement -