Tradisi keluarga Mas Ermieyati bakar sendiri lemang

- Advertisement -

MASJID TANAH: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, membakar sendiri lemang untuk juadah hari raya telah menjadi tradisi keluarganya sejak dahulu.

- Advertisement -

Menurut beliau, itu adalah tradisi turun-temurun yang dilakukan keluarga yang sangat ditegaskan oleh ibunya demi untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Lemang memang kami bakar sendiri dengan adik-beradik yang lain. Kami berkumpul ramai-ramai membakar lemang dan masak rendang. Orang sekarang mungkin lebih mudah beli sahaja.

“Maklumlah nak bakar lemang bukan sekejap. Hampir enam ke tujuh jam. Tetapi kami tetap buat sendiri. Itu pesanan ibu saya yang saya pegang hingga sekarang,” ujarnya.

Namun, beliau dapat melihat manfaat daripada amalan tersebut yang ditekankan oleh ibunya itu adalah bertujuan untuk merapatkan hubungan adik-beradik dan keluarga.

Selain itu, menurut beliau, ia juga dapat membuatkan seseorang itu menghargai susah payah mereka yang membakar lemang untuk dijual kerana itu bukan suatu proses yang mudah.

Bagi rendang pula beliau memilih rendang ayam dan daging walaupun di kebanyakan tempat di Melaka ramai yang suka memasak rendang itik yang bersifat ‘kayangan’ kerana harganya yang agak mahal, namun beliau tidak meminati makanan tersebut.

“Selain daripada itu, ada juga kuah kacang dan nasi himpit. Dan bila dah ada ipar yang orang Kedah ni tambah pula ada menu ketupat palas. Jadi kita start dah makan ketupat palas,” katanya.

Jelas beliau, itu adalah hidangan yang biasa ada pada hari raya pertama sementara bagi hari raya kedua dan seterusnya akan ditukar kepada menu-menu lain seperti nasi arab dan sebagainya.

“Dari segi biskut raya yang wajib dekat rumah dah tentulah kuih tart mesti ada. Kemudian apa-apa biskut yang perasa coklat itu petak mesti ada, itu yang wajib. Termasuk juga kerepek-kerepek. Itu semua memang kesukaan saya,” kata beliau.

Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan salam lebaran dan memohon kemaafan kepada seluruh umat Islam terutama kepada warga Parlimen Masjid Tanah yang diwakilinya dan mengharapkan agar mereka dapat mengharungi saat-saat sukar ekonomi yang mencabar pada masa ini. – HARAKAHDAILY 11/4/2024

- Advertisement -