Kenangan raya Ahli Parlimen Padang Besar

Rushdan Rusmi (duduk, tiga dari kiri) bersama ahli keluarga.
- Advertisement -

PADANG BESAR: Kenangan sambutan Hari Raya Aidilfitri pastinya berbeza bagi setiap individu.

- Advertisement -

Begitu juga pengalaman Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi yang berkongsi kenangan menyambut lebaran di zaman kanak-kanaknya.

“Kami pada mulanya menetap di Kampung Behor Inai. Ketika itu arwah abah ada bengkel kereta sendiri, kemudian dalam awal 1980-an kami pindah ke Taman Merpati, Kangar.

“Di situlah kami dibesarkan, kami ada lapan orang adik-beradik, saya nombor dua, semua lelaki kecuali yang bongsu perempuan,” katanya. 

Mengimbas kembali kenangan, tidaklah sehebat rakan sebaya beliau yang lain.

“Kami datang dari keluarga yang serba kekurangan tetapi adik beradik ramai, setiap kali raya pada masa tu, kami anak lelaki yang akan membantu arwah mak menyediakan juadah dan mengemas rumah.

“Saya masa darjah dua dah boleh masak sendiri, hampir semua adik beradik kami boleh memasak sendiri, cuma mereka malas mengemas.

“Mungkin sebab memang tugasan saya masa kecil membantu mengemas rumah,” ujarnya lagi.

Ketika itu, ujar Rushdan, suasana hidup berjiran sangat bagus masing-masing saling tolong menolong.

“Masa tu, kalau nak memasak bahan masakan ada sekitar rumah dan rumah jiran. Dulu selalulah dengar Kak Ros, nak minta belimbing buluh sikit.

“Betapa meriah dan kejiranan yang sentiasa memerlukan antara satu sama lain, kemudian tradisi tukar juadah sebagai contoh, kita hantar kuih ketayap, jiran hantar balik karipap,” tambahnya.

Kebiasaanya, beliau bersama adik beradik akan ‘kutip’ duit raya sekampung.

“Selalunya pagi raya, lepas makan kami akan ikut arwah abah ke surau untuk solat Aidilfitri. Balik tu, terus berjalan ke rumah jiran-jiran.

“Kemudian melangkau ke kejiranan lain. Tak kenal tak apa, janji dapat duit raya. Tapi dulu, duit raya sekupang dua kupang saja. Berat sikit la poket sedangkan perjalanan jauh ketika beraya. Masa tu, kalau tuan rumah jamu apa pun, makan saja. Bagi duit banyak mana, ambil saja.

“Kemudian bila zaman remaja baru tengok budak-budak sudah memulakan trend, minta duit raya tanpa masuk makan di rumah jiran. Suatu budaya yang kurang baik,” katanya lagi.

Kemudian, arwah abah dan mak akan bawa kami balik ke Kampung Dato’ Kayaman untuk beraya di rumah Chaq Kassim dan sedara mara. Maka berambung balik perjalanan kutip duit raya dari rumah ke rumah.

“Di celah beraya tu, kadang-kadang diisi dengan aktiviti main guli, baling selipar dan macam-macam permainan sesama kami di kejiranan.

“Malam raya, kami hanya melihat anak-anak jiran bermain bunga api dan mercun. Nak beli, keluarga tak mampu.

“Cuma bila arwah abah kerja dengan Telekom Perlis masa tu, ada rezeki lebih sikit. Baru merasa main bunga api. Dan yang paling menarik. Bila arwah abah mampu membeli TV.

“Kalau tidak, kena tengok di rumah jiran, adakala secara curi-curi tengok dari luar pagar rumah jiran. Kurang bernasib baik, jiran tutup pintu,” ujarnya.

Sekarang suasana jauh berbeza. Zaman semua orang termasuk kanak-kanak yang fokus bermain gajet daripada berinteraksi antara satu sama lain. – HARAKAHDAILY 11/4/2024

- Advertisement -