Lagi laporan polis terhadap kartunis Zunar

- Advertisement -

IPOH: Lagi laporan polis dibuat Pemuda PAS terhadap kartunis Zunar berhubung lukisannya berunsur menyindir umat Islam menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak, Amin Roslan berkata tindakan Zunar itu suatu perbuatan yang dianggap jelek, biadap dan celupar.

Menurutnya, ia secara tidak langsung mengganggu-gugat kesejahteraan umat Islam yang tegas mempertahankan kalimah Allah daripada dipersenda atau dipermainkan mana-mana pihak.

“Rasa sensitif yang ditunjukkan oleh majoriti umat Islam di negara ini merupakan suatu kelegaan, ia menunjukkan mereka amat peka,” katanya di sini semalam.

Sebelum itu, Pemuda PAS Perak membuat laporan polis terhadap kartunis terbabit berikutan lakaran kartun berkaitan kalimah Allah.

Laman sosial kartunis tersebut pada hantarannya sebelum ini menyifatkan pihak yang mempertahankan kalimah Allah disifat sebagai fobia.

Amin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu berharap pihak berkuasa menyiasat pihak yang terbabit dengan pembikinan kartun berkenaan.

Setiusaha Pemuda PAS negeri Nurhafizul Badrul Hisham pula berkata, pihaknya menyerah kepada pihak berkuasa menyiasat apa jua bentuk penghinaan terhadap Islam, termasuk kalimah Allah. – HARAKAHDAILY 11/4/2024

- Advertisement -