Ramadan yang sarat ujian dan pengajaran

- Advertisement -

RAMADAN telahpun berlabuh meninggalkan kita. Ramadan kali ini menyaksikan banyak sekali kegawatan dan keributan isu-isu melanda umat Islam.

Umat Islam terus-terusan diasak dari pelbagai aspek sehingga menyentuh persoalan kemandirian hidup, aqidah dan keimanan.

- Advertisement -

Ramadan di Gaza dan Rafah adalah Ramadan yang amat memilukan apabila tentera syaitan zionis terus-terusan ingkar dengan tekanan masyarakat antarabangsa untuk gencatan senjata.

Mereka terus tanpa ada sekelumit sifat kemanusiaan, membedil Gaza ketika umat Islam Palestin mengharungi ujian Ramadan dalam serba kekurangan. Ujian getir bagi umat Islam Palestin itu pasti tidak akan mampu ditanggung oleh kita yang hanya mampu melihat dan berdoa dari kejauhan.

Ramadan sudah sering kali menjadi ujian getir, lebih daripada suatu kelaparan. Sebegitu juga Perang Badr Kubra yang berlaku pada bulan Ramadan yang menyaksikan pertembungan tentera Islam yang sedikit dengan ketumbukan tentera musyrikin yang berlipat kali ganda banyaknya.

Begitu jugalah Perang Khandak (Ahzab) yang berlaku pada bulan Syawal, namun persediaan tentera Islam dengan menggali parit besar bagi menghalang kemaraan musuh dilakukan dalam bulan Ramadan.

Ironi sekali dalam peperangan besar yang berlaku ketika bahang Ramadan ialah bagaimana umat Islam menjadi begitu kreatif dan bijak mengatur strategi, walaupun dalam keadaan perut yang lapar.

Perang Badr Kubra menyaksikan strategi mengawal sumber air bagi melemahkan musuh, dan Perang Khandak menyaksikan strategi perang terhebat dengan menggali parit, yang tidak pernah difikir akal sebelum itu.

Ibrah yang jelas adalah umat Islam tidak hanya menang dengan kekuatan fizikal dan peralatan, namun umat Islam sentiasa terkehadapan dengan idea yang bernas, ilmu yang luas dan kebijaksanaan yang tuntas.

Di tanah sendiri, pelbagai isu dalam negara timbul dalam Ramadan kali ini seperti isu “kalimah Allah” yang tercetak di stoking, isu tentang sebutan “kafir”, dan “klip video” yang mencemarkan kesucian Ramadan.

Sememangnya ujian-ujian ini mengasak pemikiran umat Islam untuk mencari satu kepastian dan keputusan, yang mana yang benar, yang mana yang terpesong. Di luar sana ada pelbagai sudut pandang yang mencapah dan berbeza-beza, mengikut latar penulis atau penuturnya. Ada yang keras, ada yang tengah, dan ada pula yang terlalu lembut.

Di sinilah kebijaksanaan umat Islam diperlukan untuk mengemudi fikrah dan keputusan atas isu-isu yang timbul. Sudah tentu, fikrah dan keputusan yang ingin dibuat haruslah mengambil kira perkara pokok yakni kepentingan Islam secara keseluruhannya, dan sekiranya kepentingan itu bertembung dengan kepentingan-kepentingan lain seperti politik, apologetik, isme-isme yang diceduk entah dari mana, bahkan sokongan undi sekali pun, kepentingan Islam haruslah didahulukan.

Oleh yang demikian, penulis menyeru agar umat Islam untuk sama-sama bermuhasabah diri, dan menggunakan akal fikiran yang sihat berbekalkan ilmu yang sarat untuk duduk sebentar dan membuat penilaian, apakah yang sedang berlaku, dan di manakah kita seharusnya berdiri untuk mempertahankan kepentingan Islam. Nescaya saya percaya, jawapannya adalah terlalu jelas. – HARAKAHDAILY 11/4/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -