Israel pengganas sebenar zaman moden – Fadhli

3 anak kepada pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dilaporkan syahid dalam serangan udara Zionis.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, mengucapkan takziah kepada pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh di atas kesyahidan tiga anak lelaki beliau bersama cucunya akibat serangan bom rejim pengganas Israel, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, ketika umat Islam seluruh dunia menyambut Aidilfitri, bekas Perdana Menteri Palestin menyambutnya dengan berita kematian tiga anak lelakinya sekali gus.

- Advertisement -

“Sesungguhnya inilah dia rejim pengganas moden yang tidak pernah serik untuk berlaku zalim. Semoga beliau terus tabah menghadapi ujian ini dan ketabahan serta kegembiraan itulah yang dipaparkan melalui video rakaman reaksi beliau apabila dilaporkan tentang berita kematian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam rakaman video yang dipaparkan sebuah portal berita antarabangsa, Ismail kelihatan tenang sebaik dimaklumkan berita kematian anak dan cucunya.

Ahmad Fadhli memetik Ayat 23 Surah Al-Ahzab, iaitu: “Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya).” – HARAKAHDAILY 11/4/2024

- Advertisement -