Pemimpin, rakyat Kelantan tunai solat sunat istisqa’

Solat istiqa' di Pasir Tumboh.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pada 22 April 2016 lebih 2,000 penduduk tempatan menunaikan solat istisqa’ di Padang Perdana Jalan Mahmood bagi memohon hujan berikutan cuaca panas melampau yang melanda Kelantan ketika itu.

- Advertisement -

Dan hari ini selepas lapan tahun berlalu solat sunat istisqa’ sekali lagi diadakan ekoran cuaca kering yang berlaku hampir di seluruh Kelantan sekarang.

Cuma kali ini berbeza di mana solat tersebut diadakan di seluruh kawasan parlimen di Kelantan yang bermula jam 7.30 pagi tadi.

Lebih 500 penduduk tempatan hadir menunaikan solat istisqa’ bagi peringkat parlimen Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Ketereh. Solat dan khutbah disampaikan Prof Madya Dr Nik Yusri Musa.

Turut hadir Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Ketereh Mejar Jeneral (B) Datuk Klir Mohd Nor, ADUN Bunut Payong Shaari Mat Yaman, ADUN Chempaka Nik Bahrun Nik Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif PKINK Datuk Zamri Ismail.

Berucap pada program itu Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Abudullah berkata, kemarau bukan perkara baru kerana ia pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Katanya manusia sebagai makhluk yang lemah perlu mengadu kepada Allah Taala.

“Saidina Umar tak minta hujan tetapi minta keampunan, baginda merasakan kemarau berlaku akibat dosa manusia dan perlu mereka banyak beristighfar.

“Pengunaan istilah fenomena bagi merujuk kepada situasi iklim dan perubahan cuaca hari ini tidak tepat, lebih tepat bala yang datang melalui pelbagai sebab,” katanya pada program tersebut.

Manakala di Tumpat solat tersebut diadakan di padang Maahad Muhammadi Tumpat yang dihadiri lebih 300 penduduk tempatan.

Hadir sama bekas Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakub, wakil-wakil rakyat dan pimpinan masyarakat tempatan.

Rabu lepas. Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Nassurudin Daud menyarankan orang ramai menunaikan solat istiqa’di kawasan masing-masing ekoran kesan el Nino yang berlaku sekarang.

Kerajaan negeri sebelum ini turut menyalur peruntukan khas berjumlah RM300,000 bagi membekalkan air ke kawasan pertanian yang kontang ekoran cuaca panas.

Peruntukan tersebut bagi membekalkan pam berkuasa tinggi dan menggali telaga tiub di kawasan pertanian yang terjejas akibat kemarau. – HARAKAHDAILY 9/4/2024

- Advertisement -