
MASJID TANAH: Pengalaman dibesarkan datuk ketika zaman kanak-kanak, segera mengingatkan tentang persiapan Aidilfitri yang perlu dilakukan sepanjang Ramadan.
Itu nostalgia Aidilfitri yang menggamit memori Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman.
Pada ketika itu, beliau, adik-beradik dan sepupu-sepupunya seperti telah diaturkan jadual untuk melakukan rutin tersebut sepanjang sebulan Ramadan.
“Ketika itu rumah datuk adalah rumah kayu, lantai papan. Jadi, ada jadual untuk cuci lantai rumah sebab nanti nak raya. Banyak kerja-kerja yang perlu dibuat dan melibatkan masa yang lama.
“Ada yang kena cabut rumput. Bersihkan lampu, cuci perigi, semua itu akan dibuat sejak awal Ramadan sebab nak sambut raya,” kongsinya.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah berkata, ibu dan bapanya ketika itu mencari rezeki dan menetap di Singapura, namun mereka akan pulang ke Malaysia untuk berhari-raya setiap tahun.
Tambahnya, sepanjang Ramadan juga ada banyak perkara-perkara yang mencuit hati sebagai kanak-kanak pada masa itu.
“Ketika itu ingat lagi, siapa tak puasa tak boleh makan sama-sama dengan orang yang berpuasa. Kena makan satu tempat lain. Jadi, yang berpuasa dapat makan istimewa.
“Petang-petang pula beli ais di kedai runcit. Ketika itu bukan semua rumah ada peti ais. Ais itu dibalut dengan serbuk kayu,” ujarnya.
Tambah beliau, di bawah didikan datuknya, solat tarawih adalah perkara yang sangat dititikberatkan sehingga ia menjadi amalan yang tegar sehingga ke hari ini.
“Dah dekat nak raya biasanya mula kami masa tu main bunga api, main mercun. Namun, saya memang takut main mercun. Saya main bunga api sahaja,” akuinya. – HARAKAHDAILY 9/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!