Kelantan terima wang ihsan RM58.6 juta

Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menyalurkan wang ihsan berjumlah RM58.6 juta minggu lalu.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, wang ihsan merupakan satu bentuk terimaan yang sememangnya diperuntukkan dalam Bajet Negeri.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa telus dalam melaksanakan sebarang peruntukan demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

“Semua terimaan dan perbelanjaan yang terdapat dalam Bajet Negeri diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

“Kerajaan negeri berharap penyaluran wang ihsan dapat diteruskan dengan pembayaran secara berjadual berdasarkan prinsip dan semangat Persekutuan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau pada kesempatan ini, beliau mewakili saf kepimpinan kerajaan negeri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh rakyat Malaysia.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bachok, Shahir Sulaiman ketika ditemui berharap kerajaan Persekutuan menyerahkan wang royalti hasil cari gali petroleum dan gas di perairan Kelantan.

Katanya, sumber kerajaan negeri termasuk minyak, cukai-cukai dipungut kerajaan Persekutuan dan hanya tinggal sumber tanah serta air milik negeri.

Kata beliau menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan untuk membantu negeri-negeri termasuk Terengganu dan Kelantan, Sabah dan Sarawak.

“Kita mengharapkan kerajaan benar-benar adil dalam pembahagian hasil bagi memastikan negeri-negeri berhak menerima peruntukan milik mereka,” ujarnya.

Tambahnya, Ahli-Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) sentiasa membangkitkan isu tersebut di Parlimen.

Katanya, walaupun ada yang dapat tnamun dilewat-lewatkan dan sikap tersebut perlu diubah kerana ia akan menyulitkan pentadbiran kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 9/4/2024

- Advertisement -