Ramadan: Kedah meriah dengan program kebajikan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Walaupun Kedah antara negeri yang mengalami cuaca agak panas sepanjang Ramadan namun program-program kebajikan berjalan dengan meriah.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, program berkenaan bukan sahaja melibatkan parti malah kerajaan negeri juga.

“Bulan Ramadan tahun ini meriah dengan program-program kebajikan, menyampaikan sumbangan untuk asnaf dan lain-lain, sama ada melalui parti seperti Semarak Kasih Ramadan dan juga program kerajaan yang dihadiri Menteri Besar serta Exco-Exco,” katanya pada Majlis Iftar dan Sumbangan, Kakitangan Kompleks PAS Kedah, semalam.

Selain itu tambahnya lagi, agensi kerajaan seperti syarikat di bawah kerajaan negeri (GLC) juga tidak terkecuali menyantuni serta menyampaikan sumbangan untuk para asnaf seluruh Kedah.

Kata Ahmad, situasi itu menunjukkan kebajikan rakyat mendapat perhatian banyak pihak dan berkembang dengan baik.

“Para pemimpin parti dan kerajaan juga dilihat sibuk dengan jadual yang padat dari awal Ramadan hingga penghujung ini turun padang menemui para asnaf mempastikan golongan tidak berkemampuan khususnya menjelang Aidilfitri ini tidak terabai.

“Namun saya nasihatkan, apapun, tinggalkan sehari iaitu sebelum hari raya untuk beri peluang kepada mereka (para pemimpin) membuat persiapan untuk keluarga dan anak-anak pula,” tambahnya lagi.

Sementara itu Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad pada ucapan aluannya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh kakitangan Kompleks PAS negeri yang sentiasa komited dengan tugasan masing-masing.

Beliau tidak menafikan sebaik sahaja selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, kerja-kerja di Kompleks PAS Kedah bertambah ekoran rombongan dari negeri lain datang tidak putus-putus melawat kompleks berkenaan.

“Kedah ini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain. Rombongan luar datang tak putus-putus, bukan sahaja mewakili negeri tetapi juga cawangan dan Unit Daerah Mengundi (UDM),” ujarnya.

Pada majlis itu seramai 54 kakitangan mewakili Pejabat Pentadbiran PAS negeri, dewan-dewan, Pertubuhan Anak-Anak Yatim (DAYA), Jabatan Penerangan dan lain-lain menerima sumbangan duit raya dan barangan keperluan harian.

Majlis berbuka puasa itu turut dihadiri ahli-ahli keluarga kakitangan terlibat. – HARAKAHDAILY 8/4/2024

- Advertisement -