Islam kongsi kesedihan rakyat Palestin

Islam Abu Isaeed berucap kepada keluarga penduduk Palestin yang terkorban akibat serangan Israel di Gaza.
- Advertisement -

GAZA: Islam Abu Isaeed berdiri di wad Hospital Al-Aqsa yang terletak di pusat bandar ini, memimpin solat jenazah umat Islam Palestin yang terkorban dalam serangan Israel.

Dia kehilangan anak kandung, ibu, kakak dan saudara mara rapat seramai 36 orang dalam serangan kejam tentera Zionis.

- Advertisement -

D sebalik kesedihan dan kedukaan terhadap nasib yang menimpanya, Islam memikul tanggungjawab yang lebih luas. Setiap minggu, malah kadang-kadang setiap hari, dia keluar ke hospital untuk berkongsi kesedihan yang termampu bersama setiap keluarga dan melakukan solat jenazah kepada semua mangsa perang.

“Selama hampir enam bulan, kami datang ke hospital dan mendoakan ribuan syuhada, syahid demi syahid. Kami memohon kepada Tuhan agar mereka menjadi antara syahid yang terbaik,” katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, kira-kira 33,100 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.

Di sebuah hospital di pusat bandar ini, Deir Al-Balah, Islam yang berusia 60 tahun sering menjadi orang yang memimpin solat jenazah, selain melawat wad untuk bercakap dengan mereka yang cedera.

“Kami sedaya upaya cuba membantu orang ramai untuk bersabar, terutama dengan membaca al-Quran yang mempunyai kesan yang sangat baik terhadap kesabaran orang ramai,” katanya.

Saudara-mara yang berduka menyifatkan kehadiran Islam memberi ketenangan kepada mereka.

“Akhlaknya sangat cantik. Dia menenangkan orang ramai dan mengingatkan kita terhadap kebesaran Tuhan yang maha esa. Dia berkongsi kesedihan orang ramai,” kata Mohammed Al-Hour.

“Selama enam bulan, saya selalu melihat dia berdiri di sebelah penduduk Palestin yang berduka, termasuk saya yang kehilangan ramai ahli keluarga. Dia pernah berkongsi kesedihan saya. Dia pernah berdiri di sebelah saya dan berdoa bersama kami semasa pengebumian.” – REUTERS

- Advertisement -