Semua bekas kakitangan KAHB terima pampasan

- Advertisement -

ALOR SETAR: 20 bekas kakitangan Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) menerima bayaran pampasan notis penamatan perkhidmatan.

- Advertisement -

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, Zafir Annuar Ghazali, faedah notis pampasan penamatan itu berdasarkan kontrak perkhidmatan masing-masing.

“Saya memenuhi janji untuk membayar pampasan yang telah dipersetujui sebelum ini. Dalam masa dua hingga tiga bulan akan datang, mereka akan menerima bayaran gaji tertunggak sepertimana yang diminta,” kata beliau pada majlis penyampaian cek kepada bekas kakitangan KAHB di Wisma Darul Aman, semalam.

Menurutnya lagi, kesemua mereka menerima pampasan antara RM6,000 hingga RM30,000 seorang selepas pengumuman penutupan operasi syarikat sebelum ini.

Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan operasi KAHB ditamatkan serta merta ekoran tiada berdaya maju serta menanggung liabiliti terlalu besar.

Walau bagaimanapun, katanya anak syarikat milik MBI Kedah itu hanya ditamatkan operasi tetapi tidak ditutup terus kerana masih mempunyai aset yang perlu dicairkan bagi membayar hutang. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -