Elak lakukan kebakaran di kawasan terbuka

Hilmi Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Orang ramai diingatkan mengelakkan melakukan kebakaran di kawasan terbuka memandangkan keadaan kemarau yang berpanjangan sekarang.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, keadaan iklim yang kering berlaku akibat fasa peralihan monsun.

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa memantau rapi informasi cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Cuaca kering dan kemarau panjang berpotensi menyebabkan kejadian kebakaran hutan, semak dan lalang.

“Kebakaran itu boleh menjejaskan kawasan pertanian memandangkan keadaan pokok yang kering.

“Pasukan Bomba sentiasa bersedia untuk bertindak pada peringkat awal kejadian, di samping khidmat nasihat keselamatan di kawasan-kawasan terlibat,” ujarnya ketika merasmikan Pelancaran Ops Siaga Raya Aidilfitri Tahun 2024 petang semalam.

Program berkenaan diadakan di Mydin Mall Bandar Baharu Tunjong yang turut dihadiri Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin.

Hilmi juga berkata, program tahunan tersebut dianjur dalam usaha memperkasakan amalan keselamatan khususnya di musim sambutan perayaan.

Di samping itu katanya bertujuan memberi peringatan dan khidmat nasihat komuniti terutama peniaga dan pekedai berkaitan maklumat, tips keselamatan pencegahan bagi menghindari sebarang bentuk kejadian kebakaran.

“Langkah itu bagi mengurangkan risiko dan kes kemalangan ketika musim perayaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/4/2024

- Advertisement -