PN ada potensi tawan DUN Kuala Kubu Baru

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerusi DUN Kuala Kubu Baru berpotensi ditawan PERIKATAN NASIONAL (PN) walaupun didominasi DAP pada pilihan raya lepas.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tinjauan awal yang dilakukan di DUN terbabit memperlihatkan perkembangan politik yang menarik.

Katanya, selepas berlangsung Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), keadaan ekonomi negara semakin jatuh dan tidak menentu.

“Situasi itu boleh memberi peluang sokongan pengundi beralih kepada PN. Kestabilan politik terjejas dan ditambah pula komposisi kaum di DUN Kuala Kubu Baharu menunjukkan 51 peratus pengundinya Melayu,” katanya ketika ditemui pada majlis Iftar Jamai’e anjuran Majlis Tindakan DUN (MTD) Bunut Payong di sini, petang semalam.

Hadir sama ADUN Bunut Payong, Shaari Mat Yaman serta Ahli Jawatankuasa DUN dan pemimpin masyarakat pelbagai kaum.

Pilihan raya Kecil DUN Kuala Kubu Baru diadakan berikutan kematian ADUN DAP Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada PRN Ogos 2023, Lee menewaskan calon PN daripada Gerakan Henry Teoh dengan majoriti 4,119 undi.

Berikutan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang akan diadakan pada 11 Mei ini.

Takiyuddin juga berkata, pencapaian PN pada PRN lalu begitu memberangsang apabila memperolehi 22 kerusi di Selangor walaupun belum mencukupi untuk mendapat majoriti mudah.

Menurutnya pada PRU dan PRN lalu, PAS dan PN memenangi tiga kerusi di Parlimen Hulu Selangor, termasuk Hulu Selangor.

“DUN Hulu Bernam dimenangi calon PAS dan DUN Batang Kali dimenangi Bersatu, hanya DUN Kuala Kubu Baru sahaja dimenangi DAP, yang lain semuanya kita menang termasuk kerusi Parlimen,” katanya.

Bagaimanapun, katanya calon yang ‘boleh menang’ mesti diletakkan di DUN tersebut, di samping kerjasama erat jentera pilihan raya PN.

Menjawab soalan kata beliau setakat ini soal calon belum lagi dibincangkan.

“Saya difahamkan selepas Aidilfitri nanti akan diadakan mesyuarat khas PN peringkat negeri Selangor untuk membincangkan berkaitan calon.

“Walaupun kita belum bincang tentang calon namun PN mempunyai ramai calon yang berkelayakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/4/2024