Teori ekonomi menteri PH sekadar hebat di kertas

Foto hiasan.
- Advertisement -

SURAM. Situasi itu berlaku dalam lingkaran kehidupan kita hari ini. Ia tidak dapat dinafikan lagi. Begitu juga bazar Ramadan yang menjadi lubuk rezeki sebelum ini.

- Advertisement -

Suasana itu bukan sahaja berlaku di negeri di bawah teraju PERIKATAN NASIONAL (PN), sebaliknya di negeri ditadbir PH-BN.

Ada media melaporkan suasana bazar Syawal di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Pulau Pinang sunyi tanpa pengunjung.

“Tahun ini paling teruk dalam sejarah perniagaan saya sejak lebih 30 tahun lalu,” kata seorang peniaga Abdul Rahim.

Luahan itu disuarakan ramai peniaga di KOMTAR. Seorang peniaga kuih pula memberitahu penjualannya merosot 50 peratus tahun ini berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Situasi serupa juga berlaku di bazar Ramadan Jalan Raja Syed Thauphy Bagan Serai, Perak.

Seorang peniaga air soya berkata, ada peniaga yang baru menceburi perniagaan terpaksa menuntup jualan mereka pada minggu pertama puasa disebabkan habis modal pusingan.

Lebih mengejutkan lagi apabila diviral seorang makcik mengadu masalah kos sara hidup sekarang kepada perdana menteri (PM). 

“Harga barang sekarang mahal, PM kena tengok betul-betul. Nilai duit kita pun rendah. PM kena tengok benda tu…” katanya ketika Anwar Ibrahim melawat Perlis Isnin lepas.

Ketika kejadian perdana menteri mahu masuk ke dalam kenderaan dengan diiring ramai pegawal, namun tiba-tiba seorang makcik datang meluah perasaan.

Orang ramai yang berada di tempat kejadian terkejut. Makcik tersebut bukan calang-calang orang. Dia menjadi berani kerana dihimpit kos hidup.

Anwar kali kedua datang ke Perlis sejak diterajui PN. Kehadirannya disambut mesra Menteri Besar (MB) Mohd Shukri Ramli.

PM dengan diiringi MB meninjau Bazar Ramadan Persiaran Wawasan di Kangar. Kesempatan itu dimanfaat makcik tadi meluahkan perasaan.

Situasi dikongsi peniaga kecil turut menarik perhatian Coach Bahar. Beliau seorang usahawan yang berjaya.

“Saya mengakui perit bahang berniaga bulan Ramadan tahun ni lain macam sikit. Pening kepala dibuatnya. Orang tidak berbelanja sangat.

“Bayangkan cafe saya berbuka puasa tu satu meja je yang datang. Itu pun jenuh buat promosi percuma dan berbayar. Kami bertahan hanya kerana staf kami yang bekerja. Staf lagi ramai dari yang datang.

“Orang yang ada gaji bulanan, berharap dapat gaji. Dah nak raya ni. Orang yang nak kena bayar gaji berdebar-debar nasib baiklah lepas bayar gaji,” ujarnya pada catatan di laman sosialnya.

Teori ekonomi

Peliknya ketika peniaga dan rakyat di bawah merasai kesan herotan ekonomi, namun masih ada pakar menggambarkan keadaan sebaliknya.

Kata Dr Barjoyai Bardai, Malaysia masih bernasib baik berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, walaupun pertumbuhan agak lemah di suku kedua 2023 iaitu 2.9 peratus, namun meningkat kepada 3.4 peratus di suku keempat 2023.

Apa yang lebih jelas berdasar tulisan Dr Barjoyai di sebuah akhbar 15 Februari lepas, tahun 2022 pertumbuhan ekonomi Malaysia mencapai 8.7 peratus.  

Persoalannya parti mana yang menerajui kerajaan ketika itu. PH-BN hanya membentuk kerajaan pada akhir November 2022. Ini bermakna kejayaan itu hasil kecekapan Kerajaan Keluarga Malaysia dan PN.

Kerajaan PN turut dianggotai Gabungan Parti Sarawak (GPS), BN, PAS, BERSATU dan Gerakan. Gabungan parti tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 mengumpul 76 kerusi berbanding PH-Warisan-UPKO yang memiliki 139 kerusi parlimen.

Namun, langkah Sheraton pada pada Februari 2020 menyebabkan kerajaan PH tumbang bagi membolehkan PN membentuk kerajaan. Biarpun kerajaan PN berdepan dengan cabaran besar pandemik Covid-19, namun masih mampu mengurus tadbir negara.

Tentunya ramai masih ingat Bajet 2021, kerajaan PN menyediakan Bantuan Prihatin Rakyat berjumlah RM55 bilion. Selain itu turut diberi subsidi upah bernilai RM12 bilion.

Biarpun rakyat sukar kerana disekat pergerakan bagi mengekang penularan wabak, namun tidak kedengaran ada penduduk kebuluran. Malah bangkul makanan dihantar sampai ke tangga rumah mereka.

Ketika itu tidak kedengaran harga beras meningkat mendadak. Contohnya harga beras Super 5% (Anggur Biru) 10 kg meningkat kepada RM36 berbanding harga lama RM27.50. Harga baharu itu bermula 4 September 2023. Ia jelas berlaku di era PH-BN.

Malang sungguh selepas PH-BN menerajui Putrajaya, sinar pasca Covid dilihat kembali malap. Tidak salah kalau disebut kejayaan era PN kembali muram di era PH-BN.

Dan hari ini ia benar-benar dirasai. Pergilah di mana-mana bazar Ramadan, suasananya suram. Lalu lintas tidak lagi sibuk seperti Ramadan sebelum ini.

Kali ini juga tidak kelihatan warga emas Muslim dari Thailand yang keluar masuk kampung di Kota Bharu mencari wang zakat. Sedangkan Ramadan sebelum ini mereka mudah ditemui di taman perumahan dan di kampung-kampung. 

Begitu juga pelajar-pelajar tahfiz dari selatan Thailand juga tidak ramai datang menawarkan diri sebagai imam tarawih. Mengapa situasi itu berlaku. Antaranya kerana nilai Baht jauh lebih tinggi berbanding dengan Ringgit.

Inilah kesan apabila kerajaan dilihat sekadar hebat berteori di kertas, namun gagal diimplikasi di bawah. Betul lah seperti disebut makcik di Kangar ketika merintih kepada PM Isnin lepas. – HARAKAHDAILY 4/4/2024

- Advertisement -