Exco Penerangan rai pengamal media Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Lebih daripada 70 pengamal media Kedah diraikan pada majlis moreh bersama Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan, Komunikasi dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat, di Kompleks PAS Kedah semalam.

- Advertisement -

Ustaz Azam berkata, selain beramah mesra dan menjamu selera, ukhuwah antara pihaknya bersama pengamal media di negeri ini juga dapat dieratkan.

“Saya ucapkan terima kasih atas jasa para media yang menulis serta menyiarkan program-program serta memperkenalkan kerajaan negeri kepada pihak luar. Namun sukalah saya berpesan, biarlah apa yang kita tulis dan siar itu, dapat memberi kesan yang baik kepada orang lain,” katanya.

Dalam masa yang sama ujarnya, tugas pengamal media amat mulia kerana berjuang serta bekerja untuk orang lain bukan untuk diri sendiri.

Sementara itu, hadirin juga diingatkan agar tidak melepaskan peluang kebaikan yang Allah kurniakan di bulan Ramadan ini berlalu begitu sahaja.

“Wartawan dan pengamal media ini seperti wakil rakyat juga, sibuk dengan tugasan tetapi janganlah lupa dan lalai mengambil kesempatan meraih ganjaran pahala berlipat ganda di bulan Ramadan ini terutama di 10 malam terakhir.

“Banyakkan berdoa serta hidupkan malam dengan qiamullail dan biasakan diri solat berjemaah terutama solat Subuh dan Isyak,” tambah beliau lagi.

Kesempatan itu juga, beliau turut memperkenalkan Kompleks PAS Kedah kepada hadirin dan menceritakan secara ringkas sejarah sehingga bangunan enam tingkat itu berjaya didirikan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood Al-Hafiz. Antara pengamal media yang hadir, termasuklah Harakah, Urusetia Penerangan Darul Aman (Upda), Unit Media Kedah (UMK), Sinar Harian, Astro Awani, Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro, Bernama dan lain-lain.

Pada majlis itu, pengamal media juga menerima cenderahati daripada Ustaz Azam. – HARAKAHDAILY 4/4/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!