PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei, penamaan calon 27 April

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

- Advertisement -

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata hari penamaan calon pada 27 April dan hari undi awal 7 Mei.

Menurutnya, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu.

Sehubungan itu, ujarnya SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan memutuskan satu PRK Kuala Kubu Baharu hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

Katanya, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 27 April sehingga pukul 11.59 malam, 10 Mei.

Jelasnya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK itu adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari 2024 yang dikemaskini sehingga 25 Mac ini.

Belaiu berkata, DPPR itu mengandungi seramai 40,226 orang pemilih yang terdiri daripada 39,362 orang pengundi biasa, 238 orang tentera dan pasangan, 625 orang polis dan seorang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

“DPPR bagi PRK Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu akan mula dijual pada 22 April 2024,” ujarnya dalam satu kenytaaan, hari ini.

Menurutnya lagi, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan adalah di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Katanya, seramai 760 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK itu manakala sebanyak 18 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 74 tempat mengundi/saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

Tambahnya, keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 20 buah dengan 77 tempat mengundi/saluran.

“PRK Dewan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor memerlukan peruntukan sebanyak RM2.5 juta,” ujarnya lagi.

PRK itu diadakan susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong meninggal dunia akibat kanser pada 21 Mac lalu.– HARAKAHDAILY 4/4/2024

- Advertisement -