PASTI berjaya lahir pemimpin bertaraf nasional

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Kejayaan PASTI melahirkan ramai murid kini bergelar pemimpin di peringkat nasional ternyata dicemburui banyak pihak.

- Advertisement -

Antara lepasan PASTI termasuk bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary dan Ahli Parlimen Alor Star, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata, mereka merupakan antara pemimpin PAS yang pernah belajar di PASTI sebelum ini.

“Malah ramai lagi pemimpin masyarakat, penjawat awam dan golongan profesional yang merupakan bekas pelajar PASTI.

“Ini menggambarkan pendidikan prasekolah di PASTI bukan calang-calang kerana mengutamakan sahsiah dan akhlak di samping akademik,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan pakaian seragam kepada pelajar PASTI di Kompleks Tarbiyyah Chetok, semalam.

Pada Mac lepas tular memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia berkaitan arahan siasatan berkanun terhadap PASTI, SRITI dan SMITI, yang didakwa membayar gaji rendah kepada kakitangan di bawah daripada kadar gaji minimum.

Siti Zailah yang juga bekas timbalan menteri berkata, usaha yang dilakukan pihak tertentu menekan PASTI kerana mereka iri hati di atas kejayaan murid PASTI.

“PASTI beroperasi di premis sendiri dan tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan.

“Terima kasih kepada sukarelawan PASTI yang banyak berkorban bagi mendidik anak-anak sehingga cemerlang dalam kehidupan,” ujarnya. 

Menurutnya juga sukarelawan PASTI ramai yang berpendidikan tinggi termasuk memiliki diploma dan ijazah daripada pusat pengajian tinggi.

Kata beliau juga kejayaan luar biasa PASTI dapat dilihat apabila turut mendapat perhatian ibu bapa bukan Islam dengan menghantar anak mereka belajar di pusat pendidikan terbabit.

Oleh itu beliau berharap alumni PASTI tampil membantu PASTI bagi memastikan institusi pendidikan itu terus cemerlang. – HARAKAHDAILY 4/4/2024

- Advertisement -