Diserbu polis: Speaker Parlimen Afrika Selatan letak jawatan

Nosiviwe Mapisa-Nqakula. (FOTO: IOL)
- Advertisement -

CAPE TOWN: Speaker Parlimen Afrika Selatan, Nosiviwe Mapisa-Nqakula telah meletakkan jawatan pada Rabu, seminggu selepas kediamannya diserbu oleh pihak polis susulan dakwaan rasuah yang dilakukannya.

Keputusan Mapisa-Nqakula meletakkan jawatan serta-merta itu merujuk kepada kandungan surat yang ditulisnya adalah bagi menegakkan integriti parlimen selain mahu memberikan fokus kepada siasatan yang sedang berjalan terhadap dirinya.

“Memandangkan betapa seriusnya dakwaan yang dihebahkan terhadap saya, saya tidak boleh meneruskan untuk memegang jawatan ini,” tulis Nosiviwe dalam suratnya itu, lapor AFP.

- Advertisement -

Beliau telah didakwa atas kesalahan meminta sejumlah wang bernilai AS$120,000 (RM596,000) sebagai balasan untuk menghadiahkan tender kepada seorang pemilik syarikat bagi memindahkan peralatan ketenteraan negara itu, sewaktu beliau menjadi Menteri Pertahanan selama tujuh tahun.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan berkata peletakan jawatannya itu bukanlah sebagai petunjuk atau pengakuan bahawa dirinya bersalah. 

“Saya kekal tidak bersalah dan berazam untuk memulihkan reputasi baik saya,” tulisnya lagi.

Parti pembangkang termasuk parti Pejuang Kebebasan Ekonomi dan Pakatan Demokratik (DA) dalam pada itu menyambut baik keputusan beliau untuk meletakkan jawatan. 

“Peletakan jawatan ini adalah kemenangan untuk akauntabiliti, Parlimen dan rakyat Afrika Selatan keseluruhannya. Mereka yang diamanahkan untuk memimpin dan mewakili Afrika Selatan mesti memenuhi tugas itu,” ujar kenyataan DA.

Peletakan jawatannya itu berlaku dua bulan sebelum Afrika Selatan menjalankan pilihan raya, yang dilihat bakal memberikan impak buruk kepada partinya, African National Congress (ANC) yang sedang bergelut untuk mendapatkan kepercayaan rakyat di sebalik keadaan ekonomi yang lemah, rasuah dan masalah tadbir urus. – HARAKAHDAILY 4/4/2024

- Advertisement -