Denda maksimum tangani pesalah alam sekitar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam diminta menjelaskan keberkesanan pengenaan denda maksimum dan minimum kepada individu yang melakukan kesalahan pembakaran secara terbuka sehingga denda dinaikkan dua kali ganda.

- Advertisement -

Senator Abd Nasir Idris berkata, merujuk kepada Fasal 13 meminda Seksyen 29 A Akta 127 berkaitan dengan larangan pembakaran terbuka Seksyen 29A(5), mana-mana orang yang melanggar Seksyen 1 atau 3, melakukan satu kesalahan dan boleh didenda.

“Tidak kurang daripada RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Terdapat peningkatan denda maksimum dua kali ganda sehingga RM1 juta berbanding dengan RM500,000 sebelum ini. 

“Antara spektrum denda yang lazim dikenakan terhadap pesalah, apakah kadar nisbah antara bilangan individu yang dikenakan denda pada tahap maksimum dan juga tahap minimum terdapat mereka yang dikesan mengulangi kesalahan mereka dalam pembakaran terbuka,” ujar beliau.

Abd Nasir mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 di Dewan Negara, Parlimen, di sini hari ini.

Selain itu, beliau meminta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk membuat perancangan berkenaan keperluan untuk menambah bilangan penguatkuasa sekiranya tidak mencukupi.

“Pada November lalu dilaporkan Jabatan Alam Sekitar memerlukan tambahan (sebanyak) 3,000 anggota penguat kuasa berbanding yang ada sekarang (sebanyak) 1,100 (anggota),” ujar beliau.

Menurutnya, Kementerian juga perlu jelaskan pertimbangan yang diambil kira dalam penentuan denda iaitu kompaun dan amaun dikenakan daripada jumlah 1,043 aduan kes pembakaran terbuka direkodkan antara 1 Januari hingga 19 Februari yang lalu.

“(Berkenaan) pemantauan pembakaran yang berulang di lokasi hotspot (tempat tumpuan) dari sudut pemantauan, adakah wujud penambahbaikan mekanisma dalam mengesan dan mengenal pasti insiden pembakaran yang berulang terutamanya di lokasi hotspot hutan dan tanah gambut,” soal beliau. – HARAKAHDAILY 4/4/2024

- Advertisement -