Ribuan penduduk Israel berarak bantah Netanyahu

Ribuan rakyat turun padang dalam perarakan di jalanan membantah Perdana Menteri Benjamin Netanyahu di Tel Aviv, Israel pada 2 April 2024. (FOTO: CNN)
- Advertisement -

BAITULMAQDIS: Ribuan rakyat Israel berhimpun di Tel Aviv dan Baitulmaqdis bagi mengadakan bantahan secara besar-besaran psejak bermulanya perang menentang Hamas, insiden yang dilihat memberikan tamparan hebat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Penunjuk perasaan yang hadir rata-rata menyuarakan kemarahan mereka terhadap Netanyahu kerana gagal untuk membebaskan rakyat Israel yang dijadikan tahanan oleh Hamas sejak 7 Oktober lalu.  

- Advertisement -

Seramai 130 rakyat Israel didakwa rejim Zionis masih berada di bawah tawanan Hamas dan kumpulan pejuang yang lain, sementara 105 individu telah dibebaskan ketika gencatan senjata sementara pada tahun lepas.

Antara yang hadir dalam bantahan pada Selasa (2 April) itu ialah mantan perdana menteri, Ehud Barak, yang menyalahkan Netanyahu di atas ‘bencana’ 7 Oktober yang berlaku dan menuntut agar pilihan raya diadakan di negara tersebut, lapor Middle East Eye.

“Kamu adalah pembunuh, 240 orang telah diculik disebabkan anda, ia  salah kamu.”

“Kamu telah gagal sejak 7 Oktober lalu dalam setiap cara yang mungkin, dan sekarang anda menjadi penghalang di dalam perjanjian untuk membebaskan tebusan,” teriak seorang penunjuk perasaan, Einav Zangauker.

Dalam bantahan beramai-ramai di jalanan itu juga, sebahagian penunjuk perasaan merasakan Perdana Menteri yang memerintah paling lama itu menggunakan perang tersebut sebagai alasan untuk terus kekal berkuasa. 

Netanyahu dalam pada itu, mengatakan matlamat perang menentang Hamas sekarang ini adalah untuk membebaskan kesemua tahanan, memusnahkan Hamas dan memastikan Semenanjung Gaza bebas daripada sebarang kumpulan pejuang yang boleh mendatangkan serangan seperti yang berlaku 7 Oktober 2023 berulang kembali. 

Sementara, keluarga individu yang dijadikan tawanan Hamas pula berpendapat bahawa kerajaan Israel patut memberikan fokus kepada pembebasan tebusan melalui perundingan, dan bukannya berterusan menyerang Gaza dengan kuasa ketenteraan tanpa kompromi. – HARAKAHDAILY 3/4/2024