Wang tak dituntut kerana ramai yang tidak tahu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan dicadangkan supaya meningkatkan kesedaran rakyat mengenai wang yang tak dituntut khususnya masyarakat di luar bandar kerana jika dibiarkan perkara ini mungkin angka berkenaan akan terus bertambah. 

- Advertisement -

Senator Hussin Ismail berkata, Kementerian Kewangan juga dicadangkan untuk mengadakan jelajah atau roadshow ke pelbagai lokasi di seluruh negara untuk memberi kesedaran dan pemakluman kepada masyarakat.

“Yang mungkin mereka tahu ataupun tak tahu supaya jumlah wang ini dapat dimanfaatkan dan dapat dituntut. Saya melihat bahawa isu ini ialah isu kefahaman ataupun sedar ataupun tidak sedar. Jumlah RM11.64 bilion ini suatu jumlah yang sangat banyak.

“Dan apabila kita bicarakan tentang ini, pindaan ini diharapkan akan meningkatkan efficiency (keberkesanan) tentang pengurusan wang yang tak dituntut,” ujar beliau.

Hussin mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Rang Undang-undang Wang Tak Dituntut (Pindaan) 2024 di Dewan Negara, Parlimen, di sini hari ini.

Selain itu menurutnya, kesedaran literasi berkenaan wang tak dituntut juga harus diberikan kepada pegawai-pegawai bank bagi memudahkan pelanggan-pelanggan datang untuk merujuk di mana-mana bank. 

“Tuan-tuan, RM11.64 bilion ini kalau nanti diagih kepada orang yang menerimanya nanti sebahagian mungkin adalah mereka yang miskin tegar. (Dengan cara ini ia akan) menyelesaikan sebahagian daripada masalah rakyat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -