Gempa bumi kuat gegar Taiwan: 26 bangunan runtuh

Gempa bumi berukuran 7.2 magnitud pada skala Ritcher menggegarkan Taiwan pada hari ini, 3 April 2024. (FOTO: Business Today)
- Advertisement -

TAIPEI: Gempa bumi berukuran 7.2 magnitud pada skala Ritcher menggegarkan Taiwan pada hari ini, Rabu (3 Apr), gegaran paling kuat melanda pulau itu dalam tempoh sekurang-kurangnya 25 tahun telah meruntuhkan sebanyak 26 buah bangunan.

Kerajaan negara itu berkata, sekurang-kurangnya 26 bangunan telah runtuh, lebih separuh di Hualien yang bergunung-ganang, dengan kira-kira 20 orang terperangkap dan kerja menyelamat sedang dijalankan, dengan empat disahkan terkorban, dengan lebih 50 yang lain cedera.

- Advertisement -

Stesen televisyen Taiwan menunjukkan rakaman bangunan berubah pada sudut tidak menentu di Hualien, lokasi di mana gempa bumi berlaku di luar pesisir sekitar jam 8 pagi ketika orang ramai pergi ke tempat kerja dan sekolah.

Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA) Taiwan, berkata, gempa bumi itu mempunyai kedalaman 15.5 kilomter, manakala agensi cuaca Jepun menyatakan, beberapa gelombang tsunami kecil mencecah bahagian wilayah selatan Okinawa, dan kemudiannya menurunkan taraf amaran tsunami awal kepada nasihat berjaga-jaga, namun meletakkan magnitud gempa bumi pada 7.7 skala Ritcher.

Filipina, Hawaii keluar amaran tsunami

Agensi Seismologi Filipina turut mengeluarkan amaran kepada penduduk di kawasan pantai beberapa wilayahnya, menggesa mereka berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.

Imej daripada rakaman video menunjukkan seorang wanita berdiri berhampiran bangunan yang sebahagiannya runtuh di Hualien, timur Taiwan pada hari ini, 3 April 2024 (FOTO: AP)

Taiwan juga mengeluarkan amaran tsunami, tetapi melaporkan tiada kerosakan daripada itu, dan Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii kemudian berkata risiko merosakkan gelombang tsunami kini sebahagian besarnya telah berlalu.

Gegaran susulan masih boleh dirasai di Taipei, menurut saksi kepada Reuters, dengan lebih 25 gegaran susulan didaftarkan setakat ini, seperti diumumkan CWA Taiwan.

Gegaran dialami sehingga ke China

Media kerajaan China pula berkata, gempa itu dirasai di wilayah Fujian China, manakala seorang saksi Reuters berkata ia turut dirasai di Shanghai.

Kerajaan bandar Taipei dalam pada itu berkata, ia tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan besar dan sistem  MRT di bandar itu beroperasi sejurus selepas gegaran, manakala pengendali elektrik Taipower berkata lebih 87,000 isi rumah di Taiwan masih terputus bekalan elektrik.

Dua stesen janakuasa nuklear Taiwan tidak terjejas oleh gegaran itu, lapor Taipower.

Keadaan sebuah bangunan yang runtuh di Hualien, Taiwan selepas digegarkan gempa bumi berukuran 7.2 magnitud pada skala Ritcher. (FOTO: AP)

Gempa bumi ragut 2,400 nyawa

Dalam pada itu, pengendali kereta api berkelajuan tinggi Taiwan berkata, tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan pada kereta apinya, tetapi ia menyatakan bahawa kereta api akan ditangguhkan semasa ia menjalankan pemeriksaan.

Syarikat semikonduktor gergasi Taiwan Semiconductor Manufacturing Co. pula menyatakan, ia telah memindahkan beberapa loji fabrikasi dan sistem keselamatannya beroperasi seperti biasa.

“Untuk memastikan keselamatan kakitangan, mereka  telah dipindahkan mengikut prosedur syarikat. Kami sedang mengesahkan butiran impaknya,” ujar kenyataan syarikat itu.

Agensi berita rasmi pusat Taiwan berkata, gempa bumi itu adalah yang terbesar melanda kepulauan itu sejak tahun 1999 apabila gegaran 7.6 magnitud mengorbankan  kira-kira 2,400 nyawa dan memusnahkan atau merosakkan kira-kira 50,000 bangunan dalam salah satu gempa bumi paling teruk yang direkodkan di Taiwan. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -