Aidilfitri: Anak syarikat kerajaan negeri bantu asnaf

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Seramai 100 penerima dari kalangan asnaf dan anak-anak yatim dari keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan Wakalah Zakat daripada Kynetics Land Sdn Bhd.

- Advertisement -

Program yang diadakan di Dewan Al-Amin, Telok Bagan itu membabitkan penerima daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundur, di sini, hari ini.

Sementara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Dato’ Wira Isahak Murat pada ucapan perasmiannya berkata, sumbangan itu merupakan salah satu aktiviti kebajikan syarikat berkenaan yang bukan sahaja di DUN Pengkalan Kundur, malah di DUN-DUN lain seluruh Kedah.

“Ini juga salah satu aktiviti anak syarikat kerajaan negeri (GLC) membantu kerajaan negeri menyumbang kebajikan kepada golongan yang memerlukan.

“Pendekatan seperti ini sejajar dengan hasrat Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjadi Kedah tempat orang miskin bernaung, sementara tempat orang kaya berbakti,” katanya.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari merakamkan setinggi-tinggi penghargaan khususnya kepada Kynetic Land Sdn Bhd yang memilih DUN berkenaan pada majlis sumbangan kali ini.

“Pemberian zakat ini antara yang diperkenalkan Islam untuk membantu golongan tidak bernasib baik,” katanya.

Majlis turut dihadiri Pengurus Besar Kynetics Land Sdn Bhd, Ir Wan Mohamad Hilmi dan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi yang juga menyampaikan ucapan mewakili tuan rumah.

Sementara bacaan doa disempurnakan oleh Ahli Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Mohamad Riduan Osman. – HARAKAHDAILY 2/3/2024

- Advertisement -