Kedah usaha bantu peniaga terjejas ribut di Langkawi

- Advertisement -

LANGKAWI: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan bantuan sewajarnya kepada peniaga Bazar Ramadan Pelancongan dan Bazar Syawal di Langkawi yang terjejas, akibat dilanda ribut.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria, berkata perbincangan di peringkat negeri akan diadakan untuk melihat bentuk sumbangan yang wajar diberikan.

Terdahulu, beliau mengarahkan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) membersihkan sisa-sisa khemah yang rosak.

“MPLBP juga diarah melakukan pemantauan supaya kerja pembersihan dan pembaikan kepada khemah yang rosak dapat dilakukan secepat mungkin bagi membolehkan peniaga terus menjalankan perniagaan menjelang saat-saat akhir Ramadan.

“Bagi mempercepatkan proses pemulihan akibat bencana itu, peniaga Bazar Syawal yang terjejas dibenarkan memasang khemah sendiri supaya aktiviti jual beli dapat berjalan seperti biasa,” katanya, di sini.

Pada kejadian ribut kira-kira jam 4.00 pagi 30 Mac lalu, media melaporkan 165 khemah rosak membabitkan peniaga Bazar Ramadan Pelancongan (135) dan Bazar Syawal (30) di Kuah, malah ada di antara kerosakannya sudah tidak boleh diperbaiki lagi.

Keseluruhannya Bazar Ramadan Pelancongan menempatkan 220 khemah, manakala Bazar Syawal  128 khemah. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -