Bekas pelajar diseru sertai alumni PASTI Melaka

Ust Faizal membantu seorang pelajar PASTI mencuba pakaian raya.
- Advertisement -

TANGGA BATU: Pengarah Jabatan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Negeri Melaka, Ustaz Mohd Norfaizal Nordin menyeru alumni murid-murid daripada institusi itu agar berdaftar dan melibatkan diri secara aktif membantu institusi tersebut.

- Advertisement -

Katanya, pada masa ini sudah ada antara mereka yang menawarkan diri untuk aktif membantu namun jumlahnya masih belum memadai berdasarkan tempoh kewujudan PASTI di Negeri Melaka.

“Setakat ini kita telah mengumpul data seramai 10,000 orang bekas pelajar yang kita cuba hubungi. Namun kita percaya jumlahnya lebih lagi, sebab PASTI di Negeri Melaka ini sudah tiga dekad.

“Kerana itu kita percaya jumlahnya lebih lagi daripada 10,000 orang itu. Cuma kita tidak ada data yang sempurna. Mungkin dulu-dulu ada cikgu yang simpan rekod tetapi bila mereka berhenti rekod itu tidak ditemui,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa jumlah alumni tersebut melebihi seratus ribu orang berdasarkan tempoh tiga dekad PASTI bertapak di negeri ini.

Tambahnya, pada masa kini PASTI sudah mempunyai sistem yang lebih moden bagi merekod data peribadi murid iaitu e-PASTI yang lebih memudahkan pengesanan alumni pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui pada sesi kedua program Sumbangan Anak Yatim Dan Guru PASTI anjuran Jabatan PASTI Melaka yang berlangsung di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tangga Batu di sini, hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan turut dihadiri Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Zulhilmi Suboh dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Tangga Batu, Ustaz Ustaz Muhamad Rajab Akmal Abdul Halim.

Kata Faizal, pada masa ini penglibatan mereka disusun di bawah Komuniti Alumni PASTI melalui pendaftaran oleh guru-guru kepada pihak Jabatan PASTI Melaka berdasarkan rekod-rekod yang ada.

Tambah beliau lagi, buat masa ini NGO berdaftar bagi Alumni PASTI hanya ada di peringkat Pusat, sementara di peringkat Negeri Melaka ia masih di peringkat sekretariat dan belum mempunyai badan berdaftar dengan pendaftaran pertubuhan.

Katanya, pada masa ini pun ada di antara alumni yang kini memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PASTI negeri atau AJK Dewan Pemuda PAS negeri.

“Insya-Allah setakat ini kita belum ada kesempatan lagi untuk mengadakan himpunan alumni. Insya-Allah kita memang merancang untuk buat himpunan alumni ini dalam masa terdekat untuk kita aktifkan alumni.

“Jom! Semua bekas murid-murid PASTI! Jom sertai kami sebagai alumni PASTI untuk membantu PASTI di Melaka ini. Insya-Allah segala bantuan yang anda beri untuk membantu institusi pendidikan ini akan beroleh ganjaran besar daripada Allah SWT,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/3/2024

- Advertisement -