PASTI Melaka peruntuk RM40,000 untuk bantuan raya

Ustaz Faizal (berbaju batik hijau) dan Ustaz Zulhilmi (kanan sekali) melihat Bakri menyampaikan duit raya kepada pelajar PASTI.
- Advertisement -

TANGGA BATU: Jabatan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Negeri Melaka memperuntukkan sebanyak RM40,000 bagi bantuan hari raya kepada guru-guru dan anak-anak yatim warga PASTI.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan PASTI Melaka, Ustaz Mohd Norfaizal Nordin berkata, sumbangan itu diberikan kepada semua guru manakala anak yatim pula adalah yang terpilih.

“Alhamdulillah untuk Aidilfitri kali ini kita dapat beri sumbangan duit raya kepada semua keseluruhan 369 orang guru PASTI Melaka.

“Untuk anak-anak yatim pula kita belanja mereka ‘shopping’ baju raya melibatkan sekitar 73 orang dari seluruh negeri Melaka. Mereka ini terdiri daripada murid-murid PASTI,” ujarnya.

Katanya, dana tersebut diperolehi melalui sumbangan oleh para ibu bapa; Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka: Alumni PASTI Melaka dan orang ramai.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui pada sesi kedua program Sumbangan Anak Yatim Dan Guru PASTI anjuran Jabatan PASTI Melaka yang berlangsung di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tangga Batu di sini, hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan turut dihadiri Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Zulhilmi Suboh dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Tangga Batu, Ustaz Ustaz Muhamad Rajab Akmal Abdul Halim.

Tambah beliau, kebiasaannya program tersebut dilaksanakan secara berpusat di bandar Melaka di mana seluruh kawasan akan menerima bantuan tersebut dalam majlis yang berlangsung di situ.

Namun, jelas beliau, untuk tahun ini program diadakan di dua lokasi iaitu sesi pertama di Jasin yang berlangsung semalam melibatkan PASTI Kawasan Jasin, Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya manakala sesi kedua di kawasan Tangga Batu pada hari ini melibatkan kawasan Tangga Batu, Masjid Tanah dan Alor Gajah.

“Kita buat macam ni sebab kita nak meraikan dua kawasan pilihan raya yang kita menang pada masa ini iaitu Parlimen Jasin dan Tangga Batu.

“Sebab itu kita kumpulkan kawasan yang berdekatan dengan Jasin mereka terima pada majlis di Jasin dan kawasan yang berhampiran Tangga Batu mereka terima pada majlis di sini,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar sumbangan tersebut walau pun tidak seberapa namun dapat membantu mengurangkan beban guru-guru dan anak-anak murid PASTI yang kurang berkemampuan di saat negara berhadapan krisis kenaikan harga barang yang kritikal ini. – HARAKAHDAILY 31/3/2024

- Advertisement -