Pencemaran sungai dikhuatiri lenyapkan sumber air bersih

- Advertisement -

TASEK GELUGOR: Kerajaan Negeri Pulau Pinang dituntut menyatakan rancangan penyelesaian terhadap masalah pencemaran yang berlaku ke atas Sungai Kulim dan Sungai Air Merah akibat pembuangan najis ternakan baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, ini kerana isu tersebut telah menjadi kebimbangan, polemik dan spekulasi dalam kalangan rakyat negeri ini berkaitan masa depan bekalan air bersih.

Ia katanya, berikutan kedua-dua sungai tersebut adalah mengalir langsung ke Empangan Mengkuang yang menjadi sumber air bagi perkhidmatan bekalan air bersih untuk kegunaan harian penduduk di negeri ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama ADUN-ADUN Perikatan Nasional (PN) iaitu ADUN Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali; ADUN Permatang Berangan, Mohd Sobri Saleh; ADUN Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff; ADUN Pulau Betong, Shukor Zakariah dan ADUN Telok Air Tawar, Azmil Alang.

“Tak kiralah sama ada najis babikah ataupun najis itikkah, isunya sungai tersebut tercemar dan juga dialirkan masuk dalam Empangan Mengkuang. Bermakna rakyat Pulau Pinang ini minum air tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu tegasnya, rakyat ingin tahu tindakan pembaikan dan pencegahan yang telah dan akan dilakukan pihak berwajib agar pencemaran seperti berlaku ke atas Sungai Perai dan Sungai Kereh tidak berlaku kepada Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

Menurut beliau, Sungai Perai menjadi indikator di mana pencemarannya yang terlalu teruk menyebabkan air sungai tersebut tidak sesuai dan berisiko untuk ditapis dan dirawat bagi dibekalkan untuk kegunaan harian.

Katanya, rakyat selaku pengguna keliru apabila pihak berautoriti iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah mengesahkan pencemaran tersebut, namun ianya dinafikan pula oleh pihak berautoriti Pulau Pinang hingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

“Kalaulah kerajaan tidak mengambil tanggungjawab untuk menangani air di pencemaran itu, kita bimbang jika sekiranya tahap pencemparan air di Sungai Kulim dan juga di Sungai Merah ini juga kalau berada di tahap sama seperti Sungai Perai. 

“Ini akan mengundang masalah bekalan air kepada rakyat negeri Pulau Pinang di masa depan. Maka kerajaan mesti bertanggungjawab,” ujarnya yang juga ADUN Sungai Dua. – HARAKAHDAILY 29/3/2024

- Advertisement -