Kerajaan digesa tangani masalah himpit pesawah

- Advertisement -

TASEK GELUGOR: Kerajaan digesa memberi perhatian yang serius kepada masalah dan dilema dihadapi para pesawah dalam menghasilkan padi sekiranya benar mahu memenuhi keperluan dan keterjaminan makanan asasi tersebut.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, dari musim ke musim, masalah dihadapi para pesawah di negeri ini semakin banyak hingga menjejaskan penghasilan padi mereka.

Menurut beliau, keadaan tersebut tentunya akan menyukarkan matlamat bagi memenuhi keperluan sara diri (SSL) 70 peratus disasarkan, apatah lagi rancangan untuk mengeksport beras yang dihasratkan oleh kerajaan.

Beritahunya, sekitar 5,000 pesawah di seluruh negeri ini berdepan situasi sama terutama di Sungai Dua, Matang Berangan dan Telok Air Tawar dalam Daerah Seberang Perai Utara yang mewakili 60 peratus kawasan penanaman padi.

Katanya, para pesawah mengeluh menghadapi cabaran dan tekanan untuk melangsungkan usaha penanaman yang menjejaskan kehidupan mereka berikutan penghasilan tidak menjadi sebagaimana dahulu.

“Mereka menghadapi masalah hasil padi yang merosot begitu teruk sehinggakan pesawah-pesawah mengalami kerugian. Mereka menghadapi cabaran begitu tinggi menguruskan tanaman padi akibat dari pelbagai permasalahan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama ADUN-ADUN Perikatan Nasional (PN) iaitu ADUN Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali; ADUN Permatang Berangan, Mohd Sobri Saleh; ADUN Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff; ADUN Pulau Betong, Shukor Zakariah dan ADUN Telok Air Tawar, Azmil Alang.

Antara masalah diketengahkan Ustaz Fauzi adalah benih padi yang terpaksa dibeli dengan harga tinggi dan membebankan iaitu antara RM60 hingga RM70 bagi sekampit 20 kilogram, sedangkan ditetapkan agensi pengawal selia hanya RM45.

Begitu juga bentangnya, racun-racun yang ada pada ketika ini tidak mampu menangani serangan penyakit menyebabkan hasil padi merosot secara umum kepada 2 tan berbanding 3.5 tan hingga 5 tan bagi satu relung.

“Ketiga masalah pengairan dan juga tanah jerlus. Isu pengairan memberi kesusahan yang amat tinggi kepada tanaman padi pada ketika ini. Terutama sekali bila cuaca pada musim kemarau, suhu panas yang tinggi serta kering.

“(Ini) menjejaskan tanaman padi. Perkara tersebut telah menyebabkan jadual penanaman padi telah dilanjutkan dan lewat daripada tarikh yang telah dirancang sebelum ini.

“Oleh kerana ada sebahagian daripada sawah-sawah bendang padi ini terletak khususnya di Sungai Dua yang mengambil air daripada Sungai Muda, bila paras air turun ataupun rendah, maka tidak dapat menyedut air.

“Terpaksa beri laluan kepada PBA (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) untuk mengambil air. Maka waktu ini tidak akan menyalurkan air kepada sawah bendang,” terang beliau yang juga ADUN Sungai Dua.

Bentangnya juga, daripada perincian dibuat ke atas para pesawah, kos yang diperlukan bagi setiap relung adalah sebanyak RM3,330.50, sekali gus menuntut penghasilan sekurang-kurangnya 2.3 tan padi bagi mendapatkan semula modal kos.

“Tetapi apa mendukacitakan sekarang ini ialah mereka memperoleh hasil bawah daripada dua tan. Jadi bermakna pesawah-pesawah padi dalam musim ini mereka menanggung kerugian,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan memberi bantuan ‘one-off’ sekurang-kurangnya RM1,000 kepada para pesawah serta bertindak segera menangani masalah-masalah telah dinyatakan beliau. – HARAKAHDAILY 29/3/2024

- Advertisement -