KOTA BHARU: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd akan menaja seramai 200 anak muda di Kelantan untuk menunaikan umrah jika berjaya menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjemaah.
Pengarah Urusannya, Ibrahim Mat Sin berkata, pihaknya merancang untuk mengimarahkan Masjid Imanul Fa’izin Padang Kala, Melor dekat sini termasuk program anak muda ditaja umrah percuma.
Katanya beliau sudah menyatakan hasrat tersebut kepada kepimpinan tertinggi agensi pengurusan haji dan umrah itu dengan syarat solat berjemaah di masjid itu selama 30 hari tanpa tinggal.
“Dijangka selepas Ramadan program itu bermula, saya akan pelan sebulan dia akan sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh berjemaah, Zohor dengan Asar tidak perlu di sini mungkin mereka berkerja atau sibuk urusan lain.
“Jadi kalau waktu Maghrib, Isyak dan Subuh tu dia free dan saya nak ambil anak muda berusia 20 hingga 35 tahun yang belum berkahwin di seluruh Kelantan untuk sertai program umrah percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan zakat kepada 200 asnaf serta majlis berbuka puasa yang diuruskan oleh syarikat tersebut, petang semalam. (Foto atas)
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Imam Besar Masjid Negeri Shah Alam Selangor, Syeikh Abdul Karim Omar al Makki yang mengetuai solat Maghrib, Isyak dan seterusnya solat tarawih.
Pada majlis itu Andalusia Travel & Tours menyediakan juadah berbuka kepada 3,000 pengunjung.
“Majlis berbuka puasa ini boleh menampung 3,000 orang yang hadir. Majlis ini dimulakan dengan makan kurma dan air yang disediakan dalam beg kuning, kemudian solat Maghrib selepas itu barulah kita makan nasi dan jamuan lain,” katanya.
Sebelum ini agensi pengurusan haji dan umrah itu pernah menaja seramai 500 asnaf menunaikan umrah dan kali ini dengan adanya Masjid Imanul Fa’izin Padang Kala ia diubah.
“Jadi tahun ini saya ubah sebab sudah ada masjid ini, saya ubah anak muda umrah percuma, sembahyang sini kita buat pendaftaran ada punch card kena ada pastikan hadir semalam 30 hari sini.
“Mereka yang layak untuk pergi umrah perlu datang solat 30 hari sahaja, biar dia ada minat untuk datang ke masjid, kalau 30 hari dia training tu kira baguslah, dia tidak akan tinggal solat selepas itu, ini cadangan saya,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2024