Galak bukan Islam sertai majlis berbuka puasa

- Advertisement -

TUMPAT: Masyarakat bukan Islam sewajarnya diberi pendedahan tentang kemurnian Islam supaya mereka lebih memahami dan tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tidak bertanggungjawab.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, amat wajar program anjuran kerajaan negeri seperti majlis berbuka puasa, program Badar al-Qubra dan sebagainya wajar disertai golongan berkenaan.

“Orang bukan Islam apabila didedahkan tentang kemurnian agama kita, secara jujur mereka akan cuba fahami agama Islam yang penuh kasih sayang,” ujarnya ketika berucap pada majlis Program Penghayatan Nuzul Al-Quran dan Badar al-Kubra di Pantai Geting, dekat sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan Exco kerajaan negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Bagi merealisasikan hasrat itu, katanya Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kelantan sering dijemput menghadiri program yang dianjur kerajaan negeri khususnya pada bulan Ramadan.

Katanya, jika dakwah tersebut berjalan dengan baik dan tersusun, ia dapat menarik golongan berkenaan untuk memahami kesucian Islam.

Menurutnya juga ketika ini umat Islam sering diganggu perasaan dan jiwa mereka kerana dicabar golongan yang tidak bertanggungjawab.

“Walaupun kita tidak pernah mengganggu orang bukan Islam, tetapi mereka sengaja mencampuri urusan hal orang Islam.

“Untuk itu kita perlu menangani perkara ini dengan baik, penuh hikmah, dengan penuh iman dan taqwa kita agar perkara sedemikian tidak lagi berlaku,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru masyarakat Kelantan supaya memahami peristiwa Nuzul Quran dan Badar Qubra sebaiknya kerana ia mempunyai peringatan yang penuh bermakna. – HARAKAHDAILY 29/3/2024

- Advertisement -