Rutin Kak Lah keluar pagi balik petang temui rakyat

- Advertisement -

TANAH MERAH: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof menyifatkan kejadian yang menimpa dirinya dan keluarga mempunyai hikmah termasuk menerima rawatan di hospital.

- Advertisement -

Menurutnya, kali terakhir beliau menerima rawatan di hospital 20 tahun lalu kerana melahirkan puteri bongsunya.

“Bila Kak Lah masuk hospital dan menerima rawatan kerana kemalangan baru-baru ini, baru Kak Lah teringat, rupanya sudah lama tidak masuk hospital,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Turut menziarahinya, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Kelantan (PURNAMA), Datin Panglima Perang Wan Norhanita Wan Yaakob dan anggota Exco, Rohani Ibrahim dan wakil Ameerah negeri. (Foto atas)

Menurutnya, beliau menerima ujian yang Allah takdirkan itu dengan penuh reda dan akan berehat beberapa hari lagi di rumah supaya kesihatannya kembali pulih.

Katanya, jika tidak diuji dengan kejadian itu, beliau akan keluar pagi dan pulang lewat petang semata-mata untuk menunaikan amanah kepada rakyat atau mengikuti persidangan di Parlimen.

Sementara itu, Wan Norhanita yang juga isteri Menteri Besar Kelantan, menasihati Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan itu supaya berehat sepenuhnya bagi membolehkan pulih seperti sebelum ini.

Pada kejadian baru-baru ini Siti Zailah cedera selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bukit Antarabangsa, Ampang.

Dalam kemalangan itu, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota yang dinaikinya dirempuh dari arah hadapan oleh sebuah kereta yang terbabas dan memasuki laluannya.

Ketika kejadian beliau bersama suami dan anaknya dalam perjalanan ke tempat program berbuka puasa bersama Anak Yatim di Sekolah Tahfiz di Puchong.

Turut cedera dalam kejadian itu, anaknya Zahratul Hayat, 27 yang patah ibu jari serta remuk di tangan. – HARAKAHDAILY 29/3/2024

- Advertisement -