ALOR SETAR: Tanpa mengenal penat lelah walaupun terpaksa bermula dengan ketuhar (oven) biasa, namun semangat serta cita-cita tinggi tetap membara di jiwa.
Usahawan muda biskut raya, Nurul Najibah Mohd Fuad, 28, komited dengan cita-citanya sehingga berjaya melangkah ke tahun ketujuh, Ramadan kali ini.
“Saya mulakan perniagaan biskut raya ini, awalnya hanya dibantu oleh kakak saya, kemudian apabila tempahan semakin banyak saya tambah pembantu. Tahun ini, alhamdulillah saya ada enam orang pembantu dan tiga pembantu am bahagian pengangkutan,” jelasnya ketika ditemubual Harakahdaily, di sini.
Katanya lagi, sekarang beliau telah mempunyai tiga oven industri dan kerja-kerja membakar dan penyediaan kuih raya menjadi lebih cepat dan tidak seteruk dahulu.
“Dulu guna oven biasa, saya terpaksa berjaga malam hingga jam 3.00 pagi, tetapi sekarang dah ada tiga oven industri, malam-malam tak perlu buat kerja lagi, semua siap waktu siang,” tambah beliau.
Najibah mengambil tempahan lebih awal iaitu sebulan sebelum Ramadan dan kerja-kerja penyediaan juga awal, tambahan dengan bantuan pembantu, seminggu sebelum hari raya dijangka semua kerja akan selesai.
Menurutnya, tempahan kuih raya hanya melalui pelanggan tetap pada awalnya, kemudian bertambah apabila pelanggannya mensyorkan kepada pihak lain untuk membeli daripadanya.
“Saya tak buat iklan di media sosial. Saya hanya buat mengikut tempahan pelanggan sahaja yang kebanyakannya pelanggan tetap. Tetapi iklan biskut raya saya sebenarnya dari pelanggan saya sendiri. Mereka sendiri yang rekomen pada pihak lain dan mengakibatkan tempatan semakin bertambah setiap tahun,” jelasnya lagi.
Katanya, pada 2017 beliau mula menjual biskut raya secara set kombo (lima jenis biskut raya) dengan harga RM60 dan mendapat permintaan yang agak tinggi.
“Memandangkan harga barang semakin meningkat, tahun ini (2024) set kombo saya jual dengan harga RM100, naik RM5 dari tahun lalu (2023) iaitu RM95. Tetapi bermula 2022 setiap set kombo, akan disertakan ‘gift’, seperti sebelum ini satu bekas kuih sepit dan tahun ini popia gulung,” ujarnya.
Usahawan lepasan kolej komuniti itu pada asalnya hanya memberi fokus kepada pastri dan pizza namun minatnya berubah kepada biskut raya memandangkan permintaan yang tinggi terutama di musim perayaan.
Ramadan kali ini sahaja beliau mendapat tempahan hampir 7,000 balang termasuk daripada Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pembantu Khas Menteri Besar Kedah (PIKAT).
“Tiga Ramadan dah PIKAT tempah biskut raya dari saya. Awal dulu mereka cuba rasa dulu, puas hati baharu mereka tempah,” katanya.
Kata Najibah, purata pendapatan hasil tempatan biskut raya hampir mencecah RM80,000 tetapi ia tidak termasuk kos seperti upah pembantu dan lain-lain berkaitan.
Namun, ujarnya perniagaan biskut raya hanya menjelang perayaan seperti Hari Raya Aidil Fitri dan Aidiladha sahaja, pada waktu lain, diberi penumpuan perniagaan kek.
Dalam masa yang sama pemilik Qlizzjj Enterprise bercita-cita ingin memiliki bengkelnya sendiri memandangkan perniagaannya sekarang banyak tertumpu di kediaman keluarga di Mergong.
“Cita-cita saya nak ada bengkel sendiri yang besar. Sekarang buat di rumah. Nak tempat khas. Tak ganggu rumah sendiri,” ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, sebagai anak muda, beliau turut menyarankan golongan muda agar berusaha memiliki kemahiran sendiri sebagai persediaan masa depan.
Katanya, tidak kiralah apa jenis kemahiran sama ada menjahit, memasak atau lain-lain kerana dengan kemahiran itu boleh membantu menjana pendapatan suatu hari nanti.
“Tidak semua orang bekerja mengikut bidang yang dia pelajari tak kiralah di universiti atau kolej. Jadi, perlu ada kemahiran lain. Mana tahu suatu hari nanti dengan kemahiran yang ada boleh menjadikan kita usahawan berjaya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 28/3/2024