Hujan: Solat istisqa’ tukar kepada sunat hajat

- Advertisement -

POKOK SENA: Solat sunat istisqa’ (mohon hujan) di dataran Masjid An-Nur Daerah Pokok Sena, pagi tadi, ditukar kepada solat hajat berikutan hujan telah turun di kawasan berkenaan, malam semalam.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat berkata, walaupun ditukar kepada solat hajat namun pengharapan kepada Allah tetap dipanjatkan agar musim panas ini tidak berlarutan dalam tempoh jangka yang lama.

“Walaupun hujan sudah turun ke kawasan Pokok Sena yang sebelum ini mencecah suhu hampir 41°C namun kita teruskan juga solat sunat istisqa’ di masa lain sekiranya cuaca panas dan kering ini berpanjangan,” katanya.

Menteri Besar, Dato’Seri Muhammad Sanusi Md Nor, antara yang turut menyertai solat hajat berkenaan, termasuk Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Daerah Pokok Sena.

Solat hajat diimamkan oleh ADUN Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood Al-Hafiz dan doa dibaca oleh Pengerusi Yayasan Islam Kedah, Ustaz Mohd Radi Abdul Rahman.

Menurut Azam, solat sunat istisqa’ awalnya dicadangkan dilaksanakan di Sungai Petani tetapi sebelum solat itu diadakan, hujan telah pun turun di kawasan berkenaan. – HARAKAHDAILY 28/3/2024

- Advertisement -