Martabatkan al-Quran sebagai panduan bernegara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada 17 Ramadan setiap tahun merupakan satu tarikh penting kepada umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia memperingatinya.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, berkata kitab suci al-Quran telah diturunkan oleh Allah SWT yang merupakan mukjizat teragung junjungan besar kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS.

Tambah beliau, al-Quran juga turut menjadi panduan hidup umat manusia di dunia hingga ke akhirat.

Beliau memetic Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud: “Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah”.

Dr Halimah Ali

Menurutnya, umat Islam seluruh dunia akan berazam untuk memartabatkan al-Quran sebagai panduan hidup bermasyarakat dan bernegara demi membawa keadilan dan kesejahteraan buat semua sebagaimana diperintah Allah SWT.

Katanya, dalam waktu umat Islam berada dalam suasana Ramadan tahun ini berkebetulan beberapa perayaan lain turut disambut dan dikenangi oleh masyarakat bukan Islam, antaranya Good Friday pada 29 Mac dan Easter Sunday pada Ahad ini oleh penganut Kristian, selain perayaan Qing Ming yang diraikan oleh komuniti Cina iaitu memperingati nenek-moyang mereka yang telah meninggal dunia minggu berikutnya.

Beliau yang juga Ketua Portfolio Perpaduan Negara PERIKATAN NASIONAL (PN) berkata, keupayaan memperingati dan meraikan pelbagai perayaan dengan bebas dan aman membuktikan hubungan antara kaum dan agama di Malaysia berjalan baik dan harmoni sejak merdeka lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap agar suasana sebegitu dapat dikekalkan dan masyarakat berbilang kaum dan agama dapat hidup dalam suasana saling hormat-menghormati kepercayaan serta budaya masing-masing.

“Selain itu, tidak terpengaruh dengan sebarang dakyah atau tindakan ekstrem serta rasis oleh individu dan pihak yang tidak bertanggungjawab yang hanya boleh mengeruhkan keharmonian yang sedia ada,” ujarnya.

Oleh demikian, kata beliau perkara itu terbukti bahawa jaminan yang terkandung dalam perlembagaan negara bahawa Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain bebas diamalkan adalah satu status quo.

“Perkara ini yang perlu kita sebagai rakyat Malaysia bersama-sama mempertahankan bagi menjamin Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang selamat dan sejahtera buat semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/3/2024

- Advertisement -