Negara perlu lahirkan lebih ramai pakar keselamatan siber

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menjalin kolaborasi merentas agensi dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara bagi menyediakan kursus-kursus yang bersesuaian untuk melahirkan lebih ramai pakar keselamatan siber.

- Advertisement -

Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, selain itu, penyediaan biasiswa juga perlu diberi selari dengan keperluan semasa terutama sekali meningkatkan jumlah pakar keselamatan siber.

“Dalam isu pakar keselamatan siber tahun lalu dilaporkan Malaysia masih kekurangan sekitar 12,000 pakar keselamatan siber dalam pelbagai bidang bagi menangani isu serangan siber.

“Persoalannya apakah perancangan terperinci pihak kerajaan bagi meningkatkan kepakaran tenaga mahir tempatan sejajar dengan keperluan industri keselamatan siber,” soal beliau semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Selain itu menurutnya, isu berkaitan dengan penubuhan jawatankuasa keselamatan siber iaitu fasal 6 (1) bahawa kerajaan dicadang mengambil pendekatan khusus dalam usaha mengharmonikan kerangka kerja dalam ruang lingkup ekosistem keselamatan siber yang sedia ada.

Ini, ujarnya termasuk Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020 sehingga 2024 dan Pelan Pengurusan Krisis Siber Negara serta rangka kerja yang sedang dibangunkan seperti Cyber Security 2024-2029.

“Bagi memastikan keberkesanan kawal selia dan tindakan penguatkuasaan, mengambil kira kelompangan undang-undang keselamatan siber, serta ancaman siber baharu di sebalik teknologi yang pesat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -