Berhati-hati dalam melantik pakar keselamatan siber

Dato' Sri Saifuddin Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diingatkan agar berhati-hati dalam melantik Pakar Keselamatan Siber, sama ada ia di bawah kuasa menteri atau ketua eksekutif yang bakal dilantik, kata Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota).

- Advertisement -

“Pertama ialah kita harus sangat berhati-hati apabila kita melantik pakar-pakar keselamatan ini, terutamanya yang melibatkan entiti entiti infrastruktur maklumat kritikal negara, kerana kita nak mengelakkan daripada berlaku apa yang disebut harapkan pagar, pagar makan padi,” ujarnya sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beliau turut meminta penjelasan daripada Menteri Digital tentang kedudukan dan peranan Cyber Security Malaysia dalam konteks RUU itu.

“Di mana kedudukan Cyber Security Malaysia? Bolehkah Cyber Security Malaysia ini dilantik sebagai agensi teknologi utama untuk membantu NAKSA?

“Kerana seingat saya pada suatu ketika dahulu atau mungkin sebelum undang-undang ini kita ada NAKSA melakukan dasar. Dan di peringkat operasinya itu kalau tak semua, sebahagian besar daripada-nya dilakukan oleh Cyber Security Malaysia,” katanya.

Selain itu, Saifuddin turut membangkitkan tentang cadangan untuk mewujudkan Akta Anti Buli Siber bagi mengatasi kes-kes pembulian siber dalam talian.

“Suatu ketika dulu kementerian yang berkaitan telah melantik sekumpulan pensyarah dari Malaysian Multimedia University (MMU) untuk membuat kajian tentang keperluannya atau tidaknya.

“Sama ada perlu akta baru yang dipanggil Akta Anti Buli atau ada undang-undang lain yang boleh dipinda untuk mengelakkan berlakunya buli secara dalam talian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -