Hotel H-Elite, Mydin sedia 12 kawah bubur lambuk

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kakitangan Hotel H-Elite Design memasak 12 kawah bubur lambuk yang dimuat dalam 3,000 pek diagih kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa.

- Advertisement -

Pengurus besar hotel, Hamzah Rosli berkata, jumlah bubur lambuk disedia tahun ini meningkat berbanding hanya lapan periuk tahun lalu.

Katanya, bubur tersebut disediakan kakitangan ‘dapur’ H-Elite dengan kerjasama Pasar Raya Mydin Tunjong.

“Pengagihan bubur lambuk diadakan sejak tiga tahun lalu. Tahun lalu diadakan kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat, tetapi tahun ini  bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Agihan kita serah kepada APM dan kakitangan Mydin. Pelanggan yang mengunjungi Mydin berpeluang mendapat bubur lambuk.

“Jemaah yang datang solat di beberapa masjid juga diberi bubur lambuk,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Pengurus ll Mydin Tunjong, Nor Azmah Muhammad berkata, bubur berkenaan turut diagihkan di Pasaraya Mydin Kubang Kerian, Kota Bharu dan Rantau Panjang.

Menurut beliau pihaknya mengedar 1,200 pek bubur lambuk kepada kakitangan Mydin dan pelanggan.

“Alhamdulillah kami bersyukur memandangkan program masak bubur lambuk yang diusahakan kali ketiga mendapat sambutan hangat,” katanya.

Beliau memberitahu, Mydin menyediakan bahan-bahan mentah sebagai penyediaan bubur lambuk, manaka H-Elite memasak. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -