Tingkatkan kesedaran rakyat tuntut wang tidak dituntut

Fathul Huzir Ayob
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meningkatkan kesedaran orang ramai untuk membuat tuntutan memandangkan ketika ini jumlah terkumpul wang yang tidak dituntut masih tinggi iaitu RM11.7 bilion setakat 31 Disember lalu.

- Advertisement -

Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) berkata, jumlah Wang Tidak Dituntut (WTD) akan bertambah daripada tahun ke tahun sebelumnya ke tahun ini.

“Setiap sen yang direkodkan mempunyai pemiliknya, manakala wang tidak dituntut sebagai sumber baharu kerajaan.

“WTD setelah 15 tahun akan dimasukkan ke dalam akaun hasil disatukan dan pindaan yang nak diusulkan ini adalah untuk mengubah tempohnya daripada 15 tahun kepada 10 tahun menurut Akta Wang Tak Dituntut 1965 (Akta 370) yang asal.

“Hal ini membenarkan jumlah WTD yang tidak terakru selama lebih 10 tahun untuk digunakan dan dikreditkan ke akaun hasil wang sekaligus membenarkan kerajaan untuk menggunakan wang tersebut bagi tujuan perbelanjaan dan mengurus.

“Perkara ini adalah sangat baik dan cadangan ini disokong kerana ia akan menjadikan wang yang tidak dituntut ini mampu berfungsi untuk negara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Wang Tak Dituntut (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Namun demikian, katanya, WTD tetap ada pemiliknya dan berhak ke atas wangnya meskipun ia telah dikreditkan ke akaun khas.

“Jadi perkara ini perlu dititikberatkan oleh pihak kerajaan dan sebarang tuntutan balik ke atas wang tersebut mestilah selepas tempoh 10 tahun, manakala bagi selepas tempoh yang tak dituntut perlu dilunaskan dengan cekap dan adil tanpa sebarang prejudis.

“Selanjutnya wang ini perlu disedari oleh pihak kerajaan kerana ia seolah-olah dipinjam daripada rakyat dan sentiasa ada pemiliknya,” katanya.

Justeru, kerajaan harus membelanjakan wang ini dengan berhemah dan bertanggungjawab.

“Seterusnya perbelanjaan serta hasil tahunan perlu mengambil kira faktor sekuriti wang tersebut dan simpanan, kerana wang ini ada pemilik yang akan dituntut pada satu hari nanti dan kerajaan perlu mengembalikan semula kepada pemiliknya,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -