Selaras waktu pemberian bantuan bulanan agensi berbeza

Dato' Seri Dr Shahidan Kassim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran agar menyelaras waktu pemberian bantuan kewangan yang diberikan oleh agensi-agensi berlainan kepada seseorang penerima miskin tegar.

- Advertisement -

Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN Arau) berkata, ia bagi mencukupkan keperluan mereka bagi membolehkan mereka menerima pendapatan yang benar-benar melepasi tahap miskin tegar.

“Sumber pendapatan untuk membolehkan dia tidak menjadi miskin tegar ialah daripada Baitulmal, Jabatan Kebajikan dan juga pihak kerajaan ataupun Wilayah Persekutuan.

“Jadi oleh kerana bantuan ni dia bagi ikut masa, ikut kehendak Jabatan. Baitulmal mungkin bagi berapa haribulan, kebajikan berapa haribulan. Jadi makna kata dia sebelum mendapat angka RM1,169, dia (miskin) tegarlah,” ujarnya semasa mengajukan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, seseorang itu akan melepasi tahap miskin tegar pada kadar minima RM1,169 setelah menerima keseluruhan bantuan yang diterima pada satu-satu bulan.

Beliau dengan itu meminta penjelasan daripada Menteri Ekonomi sama ada kerajaan bercadang untuk menyelaraskan waktu sumbangan oleh agensi-agensi kerajaan yang berbeza.

Shahidan dalam soalan asalnya meminta Menteri Ekonomi menyatakan status terkini secara terperinci 130,000 rakyat yang telah dijanji akan dibantu Kerajaan dalam usaha memastikan tiada lagi golongan miskin tegar di Malaysia akhir tahun 2023.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam jawapannya berkata, mekanisme untuk menyelaraskan waktu pemberian bantuan daripada agensi yang berlainan itu adalah sebahagian daripada usaha yang sedang dibuat kerajaan.

“Kerana bantuan daripada agensi Persekutuan, agensi negeri, zakat dan sebagainya sekarang ini dibuat masing-masing. Dan oleh sebab itu kita ada risiko keciciran ‘inclusion dan exclusion error’ yang yang besar.

“Ada satu keluarga, kelima-lima ahli keluarga dapat. Dan bukan saja dia dapat daripada satu jabatan, zakat pun dia dapat, sebab itu bila dia berada di dalam e-Kasih dia tak nak keluar,” ujarnya.

Tambah beliau, ia menjadikan jumlah golongan miskin semakin lama semakin ramai dan jika ia tidak disatukan maka kos bantuan sosial negara akan terus meningkat. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -