Padang stadium rosak lagi, rombak pengurusan PSM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendesak agar pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dirombak susulan kejadian kerosakan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang kerap berulang.

- Advertisement -

Menurut beliau, Kementerian Belia dan Sukan juga digesa agar melantik mereka yang profesional untuk menguruskan stadium terutama dalam pengurusan dan penjagaan rumput.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di bangunan Parlimen, di sini, hari ini susulan kejadian memalukan di mana pasukan Malaysia dan Oman tidak dapat menjalani latihan rasmi di stadium tersebut menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, malam ini.

“Kalau mengikut laporan Kosmo semalam 25 Mac menyebutkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil ni masih lagi dalam statusnya ‘hancur’ untuk Malaysia bertemu dengan Oman

“Namun semalam YB Menteri Belia dan Sukan memuat naik status dalam media sosial memaparkan gambar rumput padang tu yang agak elok yang diambil daripada tepi. Kalau dia ambil daripada atas keadaan yang mungkin berbeza,” katanya.

Tambahnya, insiden itu sangat memalukan memandangkan perlawanan tersebut adalah perlawanan sukan bola sepak yang bertaraf antarabangsa, namun sebagai tuan rumah tiba-tiba Malaysia gagal menyediakan padang yang bertaraf antarabangsa

Beliau turut melahirkan rasa khuatir tentang kemungkinan mood pasukan negara terjejas akibat keadaan padang yang sebegitu rupa.

“Kita dimaklumkan sebelum ni PSM melantik pakar, Labosport, untuk elak tragedi berulang. Tetapi tragedi masih berulang. Jadi sebenarnya apa tujuan lantik pakar dan kenapa tragedi ni masih berulang?” soalnya.

Tambahnya, usaha serius perlu diambil oleh pihak PSM untuk memastikan insiden itu tidak berulang dan menoktahkan kerosakan padang bola sepak mesti menjadi agenda kerajaan Madani yang ada pada hari ini.

“Kami semua Ahli Parlimen mencadangkan supaya perlu dirombak (pengurusan) Perbadanan Stadium Malaysia ni kerana kerosakan yang dah berulang banyak kali. Lantik orang yang pakar dalam bidang itu untuk menguruskan stadium, menguruskan rumput,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan komitmen untuk hadir dan melihat sendiri kualiti pemain dan kualiti padang pada malam ini dan berharap agar pasukan Malaysia menang walaupun dalam keadaan padang dan rumput yang mengecewakan.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Macang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hasan. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -