600 sukarelawan kampung 4 DUN terima sumbangan

- Advertisement -

JERLUN: Seramai 600 sukarelawan kampung menerima sumbangan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Jamek As-Salam, Megat Dewa, di sini, semalam.

- Advertisement -

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohammad Yusoff@Munir Zakaria yang mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mempunyai program rasmi di tempat lain.

Turut hadir, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dr. Haim Hilman Abdullah, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim dan ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Menurut Munir, 600 sukarelawan kampung itu melibatkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Jitra, Bukit Kayu Hitam, Ayer Hitam dan Kota Siputeh.

“Alhamdulillah, hari ini selesai untuk penyampaian kepada sukarelawan kampung untuk empat DUN iaitu dua di Parlimen Jerlun dan dua lagi di Parlimen Kubang Pasu.

“Kita buat majlis untuk keempat-empat DUN itu di di Masjid Jamek As-Salam, ini,” katanya.

Sukarelawan kampung yang menerima sumbangan terdiri daripada guru-guru al-Quran dan fardu ain kampung, penggali kubur, tok mudim, pemandi jenazah, bidan kampung dan lain-lain.

Kata beliau, setiap kali menjelang Ramadan, golongan yang dianggap ‘hero tak didendang’ itu diberi sumbangan atas jasa serta pengorbanan yang tidak mengira masa berbakti kepada masyarakat khususnya di kampung-kampung.

Para penerima juga diraikan pada majlis berbuka puasa di tempat yang sama.

Sementara dalam program berasingan, Munir yang juga ADUN Kuala Nerang mengadakan kunjung hormat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap menyampaikan cenderahati sempena Hari Polis ke 217, semalam.

Beliau dan rombongan disambut Ketua IPD Padang Terap, DSP Mulkiaman Manzar. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -