Apa usaha tarik pekerja tempatan terlibat sektor 3D

Dato' Sri Dr Ismail Abd Muttalib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menetapkan bilangan pekerja asing dalam negara tidak boleh melebihi 15 peratus namun masih ramai lagi yang terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI).

- Advertisement -

Sehubungan itu, Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah penangkapan PATI yang bekerja dan dihantar pulang.

“Sebahagian besar mereka (PATI) terlibat dalam sektor 3D iaitu kotor, berbahaya dan sukar.

“Jadi apakah langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menarik pekerja tempatan bagi melibatkan diri (lebih besar) dalam sektor 3D?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata dasar pekerja asing adalah untuk memenuhi permintaan sektor 3D dan sektor yang mempunyai keperluan buruh yang tinggi.

Beliau berkata, sektor 3D mungkin agak sukar kepada rakyat Malaysia kerana merupakan pekerjaan yang amat asas dalam berkemahiran rendah.

“Aspirasi kita adalah untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja sehingga mencapai sekurang-kurangnya 35 peratus tenaga pekerja mahir menjelang pada 2030.

“Jadi untuk pekerjaan asas ataupun berkemahiran rendah antara usahanya ialah untuk menggalakkan syarikat majikan tersebut melalui peningkatan kemahiran seperti automasi dan digitalisasi supaya boleh mengurangkan kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah terutamanya pekerja asing.

“Pada masa yang sama melalui usaha peningkatan kemahiran Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sebagainya kita berharap akan memupuk pekerja tempatan menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi, dapat pekerjaan yang lebih berkualiti dan mendapat pekerjaan dengan pampasan gaji yang lebih baik,” katanya.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta kementerian menyatakan status kekurangan pekerja asing, jumlah yang masih diperlukan dan usaha yang dijalankan untuk mengatasi masalah-masalah yang bangkit termasuk rombakan dalam agensi-agensi kementerian. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -