Takziah buat Rusia dan rakyatnya

- Advertisement -

PAS mengecam sekeras-kerasnya serangan pengganas yang dilancarkan ke atas Moscow Crocus City Hall di Moscow, Rusia yang sehingga kini telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 133 orang terkorban dengan lebih 100 orang lagi dilaporkan cedera.

- Advertisement -

Serangan pengganas yang tidak bertanggungjawab ini telah meragut nyawa orang awam yang tidak berdosa dan dikhuatiri akan memburukkan lagi situasi geopolitik dan ketidakstabilan serantau khususnya di timur Eropah berikutan perang antara Rusia dan Ukraine yang semakin memuncak.

Serangan pengganas sebegini wajar dipatahkan dan dihentikan kerana dikhuatiri akan mengundang tindak balas mahupun peperangan yang lebih besar di timur Eropah. PBB khususnya Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak lebih proaktif dalam mengusahakan pelan damai antara Rusia dan Ukraine bagi memastikan kestabilan dan keamanan serantau yang berkekalan dapat direalisasikan.

PAS merakamkan takziah buat Rusia dan rakyatnya di atas insiden serangan pengganas yang tidak berperikemanusiaan ini. Semoga Rusia dan rakyatnya mampu mengharunginya dengan sabar dan cekal seterusnya bangkit semula dengan lebih gigih dan berjaya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 14 Ramadan 1445 / 25 Mac 2024 – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -