Baddrol Bakhtiar kembali ke pangkuan Sang Kenari

- Advertisement -

ALOR SETAR: Bekas bintang bola sepak negara yang kini bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Baddrol Bakhtiar akan kembali ke pasukan Sang Kenari.

- Advertisement -

Namun, penglibatan ADUN Gurun bersama pasukan itu kali ini bukanlah sebagai pemain bola sepak sebaliknya sebagai Pengurus Pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC B.

“Saya akan dibantu oleh dua individu yang berpengalaman dalam struktur kejurulatihan pasukan, Victor Andrag yang akan bertindak sebagai Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Liga Super KDA FC dan Abd Hadi Abd Hamid sebagai Penolong Jurulatih Liga Super KDA FC.

“Selain itu turut bersama saya, Ketua Jurulatih Pasukan Liga Super Kedah, Nafuzi Zain yang menganggotai pasukan yang memenangi treble musim pertama tahun 2007 lalu,” katanya, di sini.

Dalam pada itu, pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar pada sidang medianya, hari ini memaklumkan, perubahan struktur pengurusan pasukan membabit Liga Super, Piala MFL (KDA FC B/U23, Piala Presiden (KDA FC C/U20 dan pasukan Piala Belia (KDA FC D/U18) bertujuan menyelaraskan perancangan kewangan kelab agar lebih lestari untuk bersaing pada musim ini.

Mohd Daud juga memaklumkan pelantikan pengarah teknikal baharu KDA FC, iaitu bekas maestro bahagian tengah pasukan Kedah pada era ‘double treble’, Nelson Marcelo San Martin Arriagada dari Chile.

Memetik laporan yang disiarkan oleh Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA), ujar beliau, KDA FC kini dalam proses melunaskan sebahagian tunggakan gaji pemain iaitu 50 peratus baki gaji pasukan musim 2023.

“Pengurusan memandang serius dan mengambil iktibar atas semua isu yang berlaku dan merancang penyelesaian secara berhemah dan teliti agar kelab dapat meneruskan perancangan dan hala tuju masa hadapan dalam saingan Liga Malaysia,” katanya lagi. 

Sementara pihak kelab juga dilaporkan merakamkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor atas pertimbangan pengurangan jumlah sewaan pejabat operasi, hub latihan dan lain-lain premis yang di bawah milik kerajaan negeri.

Justeru tambah beliau, kepercayaan dari semua pihak terutama yang berkepentingan amatlah mustahak apatah lagi di kala kelab berhadapan isu tuntutan tunggakan gaji pemain bola sepak.

“Semoga dengan penggemblengan tenaga bersama semua pihak termasuk peminat bola sepak, pasukan Sang Kenari akan terus terbang tinggi,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -