Berbuka di medan bandar sambil santuni pengunjung

Afnan bersama keluarga berbuka puasa di dataran Medan Bandar Alor Setar, semalam.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azzamuden mengambil kesempatan di hujung minggu bersama keluarga berbuka puasa beramai-ramai di dataran Medan Bandar Alor Setar, semalam.

- Advertisement -

Katanya, bagusnya juga berbuka puasa di dataran kerana dekat dengan masjid memudahkan untuk solat Maghrib atau terus menunaikan solat Isyak serta sunat tarawih.

“Walaupun nak cari parking susah, orang ramai tetap nak cari ‘port’ berbuka puasa di depan Masjid Zahir. Mungkin mudah, selepas berbuka boleh solat Maghrib di Masjid Zahir yang terletak seberang jalan dataran ini sahaja,” katanya.

Dataran Medan Bandar Alor Setar itu merupakan antara lokasi pilihan warga bandar raya berkenaan untuk berbuka puasa beramai-ramai bersama keluarga dan sahabat handai, bukan sahaja pada Ramadan tahun ini tetapi juga pada tahun sebelumnya.

Petang semalam sahaja, dataran itu dipenuhi hampir 1,500 pengunjung dari pelbagai peringkat umur, bersama-sama berbuka puasa beramai-ramai.

Sementara pada waktu selain di bulan Ramadan, medan itu dipenuhi pengunjung terutama di waktu malam membawa ahli keluarga bersantai serta berehat menghirup udara malam.

Kehadiran Ahli Parlimen Alor Setar ke situ juga diambil peluang oleh Dewan Pemuda PAS Alor Setar untuk mengadakan aktiviti amal, mengedar buah kurma dan air minuman percuma kepada pengunjung yang berbuka puasa di situ.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Alor Setar, Ustaz Shahrizan Hazime, sebanyak 500 pek minuman diedarkan kepada pengunjung bermula jam 6.30 petang sehingga menjelang waktu berbuka puasa.

“Alhamdulillah, semua pakat seronok, lebih-lebih lagi, Ustaz Afnan sendiri yang edarkan kepada pengunjung yang berbuka puasa di situ bersama keluarga,” katanya.

Program itu katanya, digerakkan bersama 25 tenaga pemuda dengan kerjasama Pertubuhan Penggerak Masyarakat Alor Setar (GERAK) selain turut dibantu 13 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -