Pengunjung Pelita Raya Terengganu melebihi sasaran

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Program Pelita Raya Terengganu (Peliter@TTI) 2024 di Tasik Pahlawan, Taman Taman Tamadun, di sini menerima pengunjung melebih sasaran.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, program yang berlangsung selama lima hari itu menerima kehadiran pengunjung mencecah 150,000 orang.

“Ini merupakan satu pencapaian bahawasanya orang memang nak tengok (pelita raya) bukan pelancong tempatan sahaja, daripada Kelantan, Pahang, Johor pun ada,” katanya.

Beliau berkata, pelita yang dahulunya dipasang di sekitar rumah diketengahkan kembali menerusi program Peliter Raya@TTI 2024 dengan mengekalkan tradisi lama.

“Tidak membawa kepada mudarat dan nak bagitahu kepada generasi baharu bahawasanya inilah cara tok nenek moyang kita dahulu untuk sambut hari raya, pasal dulu tak ada elektrik, jadi pasang pelita.

“Ini pun nampak sudah moden, tadi saya tengok pelita yang lama pelita nyor (kelapa), saya rasa generasi sekarang tidak tahu kalau tak tengok bahawasanya pelita dahulu diperbuat daripada kelapa,” ujarnya pada sidang media, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.

Program yang berlangsung bermula 17 hingga 23 Mac bertemakan ‘Tradisi Diwarisi, Comeynya Peliter’ itu mengetengahkan konsep pelita raya pesisir air.

Konsep yang dibawakan itu mengambil kira penjenamaan Kuala Terengganu Bandaraya Pesisir Air yang merupakan salah satu kluster pelancongan negeri.

Menurut Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, beliau sebelum ini telah mengutarakan dalam perbahasan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara untuk diangkat dan mengantarabangsakan pelita raya yang masih ada di negeri ini.

“Kita boleh minta penyertaan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan kita juga boleh minta penyertaan dari negara terdekat yang mana masih ada saki baki orang Islam contoh Singapura, Thailand, Indonesia.

“Insya-Allah minggu depan menteri akan jawab, sudah dipersetuju untuk angkat pelita raya ini sebagai acara tahunan negara masuk dalam kelendar pelancongan negara, maka ia jadi satu pencapaian kepada negeri Terengganu,” ujarnya.

Untuk rekod, Pejabat Daerah Kuala Terengganu dinobatkan sebagai juara Pertandingan Peliter Raya@TTI 2024.

Ia menonjolkan tema suasana raya di Kampung Losong dengan membawakan konsep elemen pelita berlatarkan permandangan kampung itu yang bercirikan kampung nelayan, PD Kuala Terengganu membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 di samping plak.

Naib juara pula dimenangi oleh Pejabat Daerah Kuala Nerus yang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta plak dan diikuti Kemaman mendapat tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta plak. – HARAKAHDAILY 24/03/2024

- Advertisement -